Syamsul jadi buruan penerbit filem epik

Syamsul jadi buruan penerbit filem epik

Syamsul Yusof.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan telah mengangkat kredibiliti pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof yang tidak pernah menghampakan dalam setiap karya yang dihasilkannya.

Kini, Syamsul menjadi buruan produser yang mengidamkan sentuhan seni pengarahannya bagi projek filem bersejarah atau epik yang bakal dihasilkan pada masa akan datang.

Kerajaan negeri Terengganu antara yang telah menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan Syamsul dalam perancangan untuk menghasilkan filem pahlawan negeri itu, Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh.

“Saya sangat bersyukur. Bukan sahaja daripada kerajaan negeri Terengganu, tetapi ada juga beberapa negeri lain. Semua ini masih dalam perbincangan lagi. Nak kata buat filem, mungkin terlalu awal untuk saya bercakap soal itu.

“Saya ada uar-uarkan perkara ini dalam Instagram saya. Tentang menghasilkan filem epik, pahlawan kita juga ramai. Jadi, saya kena fikirkan mana yang terbaik dan sesuai dengan bajetnya.

“Saya sendiri pun tak mahu buat ala kadar. Selepas ini, kalau nak hasilkan (filem), saya mahu ada peningkatan dari segi kualiti. Gambarnya haruslah mencapai tahap yang diinginkan. Itu semua perlukan kos yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Syamsul juga menyebut tentang perancangan untuk menyambung usaha seniman negara, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin yang sebelum ini pernah berhasrat untuk merealisasikan sebuah filem berkisar kepahlawanan Datuk Maharajalela.

Kata Syamsul, perkara itu telah dibincangkan dengan anak kepada seniman tersebut yang menyimpan harapan tinggi agar filem berjudul Pasir Salak – King Of The River itu dapat disempurnakan.

“Saya telah melakukan perbincangan dengan anak kepada Tan Sri Jins. Bagi saya, kenapa tidak? Niat dia nak menyambung kerja arwah ayahnya dahulu bagi saya murni.

“Saya difahamkan arwah sebelum ini sudah memulakan kajian, skrip asal telah ditulis, barang-barang props juga telah disediakan. Namun, proses itu tergendala kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi. Jadi, tak ada masalah untuk saya meneruskannya,” ujarnya.

Ditanya tentang dana yang diperlukan untuk menghasilkan filem tersebut, Syamsul tidak menolak sekiranya filem epik berkenaan menelan belanja yang besar untuk dihasilkan.

“Kalau tanya, untuk mencapai standard kualiti yang diperlukan, kita perlukan budget sekurang-kurangnya RM20 juta.

“Boleh kalau kerajaan nak laburkan RM10 juta, tetapi sayang. Kenapa tidak lebihkan sedikit (peruntukan). Dengan dana yang besar, kita dapat lakukan banyak perkara untuk meningkatkan kualiti,” kongsinya.

Dalam pada itu, diminta mengulas tentang perbandingan yang dicetuskan netizen antara Mat Kilau dengan filem lain, Syamsul berkata, dia tidak dapat lari daripada perkara tersebut dan melihat ia sebagai persaingan yang sihat.

“Saya kurang selesa sebenarnya apabila filem Melayu yang akan keluar dibanding-bandingkan dengan Mat Kilau, termasuk filem Syafiq Yusof, Abang Long Fadil 3. Saya tahu ini sebenarnya persaingan.

“Pada saya, kita kena ambil positif perkara itu. Jadikannya sebagai cabaran kerana filem itu sudah menjadi satu penanda aras.

“Saya sendiri risau jika filem saya selepas ini dibanding-bandingkan juga dengan Mat Kilau. Saya rasa tak adil kalau filem lain dibayangi Mat Kilau,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya