PETALING JAYA: Kerusi Parlimen bukan milik individu sebaliknya amanah rakyat yang perlu dipandang serius serta berpandukan proses Perlembagaan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa, Fadzmel Fadzil berkata, beliau mendengar dengan teliti luahan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung perjuangan panjang serta keberanian memulakan langkah reformasi sebelum ini.
“Semalam, beliau berbicara tentang perjuangan panjang, keberanian memulakan langkah reformasi serta keputusan meninggalkan perjuangan lama kerana mendakwa reformasi yang diperjuangkan suatu ketika dulu kini hanya tinggal janji.
“Satu kebetulan yang menarik, suara sebegini hanya benar-benar kedengaran selepas beliau tidak lagi menjadi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian susulan perkembangan politik membabitkan Nik Nazmi yang mengosongkan kerusi berkenaan selepas memutuskan keluar PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Fadzmel menyerahkan kepada pengundi Setiawangsa kerana percaya mereka mampu menilai prestasi yang ditunjukkan Nik Nazmi sejak 2018.
“Dalam politik, rekod tidak boleh disolek dengan senang. Apa yang dibuat, rakyat tahu. Apa yang tidak dibuat, pun rakyat juga tahu.
“Kerusi Parlimen bukan tempat persinggahan politik dan bukan cagaran untuk rundingan selepas berlaku krisis dalaman parti. Ia adalah amanah rakyat,” katanya. – UTUSAN










