Sumbat PATI dalam but kereta dari Kota Bahru ke Shah Alam

Sumbat PATI dalam but kereta dari Kota Bahru ke Shah Alam

TIGA wanita warga Myanmar ditempatkan dalam but kereta yang dinaiki bersama tiga lelaki warga sama dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Klang ditahan polis dalam SJR di Persiaran Tun Teja, Alam Impian, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang lelaki tempatan direman selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 selepas dikesan terlibat dengan aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

Malah, lelaki berusia 31 tahun itu ketika ditahan polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Tun Teja Alam Impian di sini semalam turut dikesan membawa peralatan untuk menghisap dadah serta satu bungkus plastik berisi 50 biji pil berbagai warna dipercayai pil kuda.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, lelaki terbabit ketika ditahan sedang memandu kenderaan jenis Nissan Teana berwarna hitam dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Klang, Selangor.

Katanya, pemandu terbabit membawa enam penumpang warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita yang diletakkan dalam but kereta berkenaan.

“Siasatan awal mendapati pemandu tersebut membawa tiga lelaki di bahagian penumpang tiga perempuan kesemuanya berumur dalam lingkungan 18 hingga 36 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Lelaki tersebut mengakui terima upah sebanyak RM300 bagi setiap seorang yang dibawa dari Kota Bharu ke Klang, upah diterima daripada individu yang dikenali dengan nama panggilan ‘Pok Sey’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Iqbal memaklumkan lelaki terbabit direman bermula hari ini sementara keenam-enam warga Myanmar itu direman selama 14 hari.

Menurutnya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis mengalu-alukan sebarang informasi dari orang ramai berkaitan kes ini. Maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat ASP Afendi di talian 016-7252948,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya