KETIKA kebanyakan remaja seusianya masih mencari arah hidup, Lamine Yamal sudah memikul harapan Sepanyol di Piala Dunia 2026.
Pada usia hanya 18 tahun, bintang Barcelona itu bakal menjejakkan kaki ke pentas terbesar bola sepak dunia apabila mengetuai cabaran Sepanyol pada Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Namun di sebalik bakat luar biasa yang dimilikinya, Yamal masih melihat dirinya sebagai seorang remaja yang tidak pernah berhenti bermimpi.
“Sejak kecil lagi, Piala Dunia adalah kejohanan yang semua orang tonton. Walaupun seseorang itu tidak meminati bola sepak, apabila negara mereka bermain, semua akan turun ke jalanan dan menontonnya bersama-sama.
“Itulah keindahan bola sepak dan saya meremang apabila memikirkan saya akan menjadi sebahagian daripadanya,” kata Yamal.
Sejak menembusi skuad utama Barcelona hasil didikan akademi La Masia, Yamal terpaksa berdepan pelbagai persepsi dan tekanan apabila diragui kemampuannya kerana terlalu muda, manakala ada pula yang menganggap dia sekadar fenomena sementara.
Namun segala keraguan itu menjadi ‘bahan bakar’ yang mendorongnya untuk terus berkembang.
“Saya lebih suka membuktikan mereka yang meragui saya adalah salah. Apabila anda muncul pada usia muda, pasti ada yang berkata anda terlalu muda, hanya hebat untuk semusim atau terlalu dipuji. Saya mahu membuktikan kemampuan saya dalam setiap perlawanan,” katanya.

Ketika ramai pemain muda bergelut dengan tekanan, dia memilih untuk menikmati setiap detik sebagai pemain bola sepak.
“Saya mungkin akan berasa gementar jika melakukan sesuatu yang saya tidak tahu. Tetapi bola sepak adalah apa yang saya lakukan sepanjang hidup saya.
“Apabila saya melihat ibu bapa saya di tempat duduk penonton dan mengetahui mereka bangga dengan saya, tekanan itu hilang.
“Saya sentiasa mengatakan ia seperti menjadi adiwira. Semuanya menjadi sempurna. Saya lebih pantas, lebih kuat dan penuh adrenalin.
“Saya rasa tiada apa yang boleh menghalang saya. Saya mahu mencapai tahap itu di Piala Dunia.”
Selepas membantu Sepanyol muncul juara Euro 2024 dan Liga Negara-Negara UEFA, skuad La Roja kini dianggap antara calon utama untuk menjulang trofi dunia.
“Menjadi pasukan pilihan tidak memberikan kelebihan. Ia tidak membantu anda menjaringkan lebih banyak gol. Kami perlu melalui setiap perlawanan satu demi satu.
“Ada Argentina, Perancis, Portugal dan England. Semua pasukan akan berada pada tahap terbaik mereka di Piala Dunia. Tetapi saya percaya kami bermain bola sepak terbaik,” katanya.
Di Barcelona pula, tanggungjawab Yamal semakin besar selepas dia berkembang menjadi nadi utama serangan pasukan.
Ramai pemerhati mula membandingkannya dengan nama besar seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Neymar dan Kylian Mbappe namun Yamal mempunyai pandangan tersendiri.
“Matlamat saya bukan untuk dibandingkan dengan mereka. Saya mahu nama saya disebut sebaris dengan mereka.
“Saya mahu mencipta identiti sendiri. Jika terlalu sibuk membandingkan diri dengan orang lain, ia boleh memakan diri sendiri,” katanya.-AGENSI

Biodata
Nama penuh Lamine Yamal Nasraoui Ebana
Tarikh lahir 13 Julai 2007
Umur 18 tahun (2026)
Tempat lahir Esplugues de Llobregat
Kewarganegaraan Sepanyol
Posisi Sayap kanan / Penyerang
Kaki dominan Kiri
Kelab semasa FC Barcelona
Nombor jersi 10 (Barcelona), 19 (Sepanyol)
Akademi La Masia (Barcelona)
Pencapaian Bersama Barcelona
Kejuaraan
2 kali juara La Liga (2022/23, 2024/25)
1 kali juara Copa del Rey (2024/25)
2 kali juara Piala Super Sepanyol (2024/25, 2025/26)
Pencapaian Bersama Sepanyol
Kejuaraan
Juara Euro 2024 bersama Sepanyol










