HOUSTON: Penjaga gol veteran Jerman, Manuel Neuer akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Curacao pada aksi pembukaan di Piala Dunia 2026, kata jurulatihnya, Julian Nagelsmann.
“Semua pemain berada dalam keadaan cergas dan Neuer akan bermula dalam kesebelasan utama,” kata Nagelsmann pada sidang media pra-perlawanan.
Perlawanan menentang pendatang baharu Piala Dunia itu esok akan menjadi penampilan pertama Neuer bersama Jerman selepas hampir dua tahun.
Penjaga gol berusia 40 tahun itu kali terakhir mewakili negaranya dalam aksi suku akhir Euro 2024 yang menyaksikan Jerman tewas kepada Sepanyol.
Neuer yang memiliki 124 penampilan antarabangsa sebelum ini mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan, namun dipanggil semula oleh Nagelsmann selepas membantu Bayern Munich menjulang gelaran Bundesliga dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.
Pemenang Piala Dunia 2014 itu bagaimanapun berdepan masalah kecederaan betis menjelang kejohanan di Amerika Utara dan tidak diturunkan dalam kemenangan 4-0 ke atas Finland serta kemenangan 2-0 menentang Amerika Syarikat dalam aksi persahabatan.
Kehadiran Neuer dalam kesebelasan utama bermakna Oliver Baumann, yang banyak menggalas tugas sebagai penjaga gol utama Jerman sepanjang dua tahun lalu, akan memulakan perlawanan di bangku simpanan.- AGENSI










