Stor sorok minyak masak, gula diserbu KPDNHEP Melaka

Stor sorok minyak masak, gula diserbu KPDNHEP Melaka

NORENA Jaafar menunjukkan minyak masak botol yang dirampas KPDNHEP dalam satu serbuan di sebuah stor penyimpanan di Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah stor penyimpanan barangan kawalan diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka dan merampas 460 kilogram (kg) minyak masak botol serta lebih satu tan gula pasir kasar.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, hasil serbuan dijalankan kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam (Selasa) di Ayer Keroh di sini mendapati, stor berkenaan tidak mempunyai lesen dan disyaki dengan niat menyorok barangan kawalan

Menurutnya, sitaan telah dilakukan ke atas semua minyak masak botol dan gula pasir kasar dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7,000 serta telah dibawa ke stor KPDNHEP di Krubong di sini.

“Serbuan dilakukan selepas menerima aduan daripada orang ramai menerusi laman sosial KPDNHEP mengenai sebuah premis menjual barangan runcit mempunyai stor penyimpanan tidak jauh dari situ.

“Hasil intipan beberapa jam kita mendapati memang betul sebuah stor penyimpanan yang tidak dilesenkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 menyimpan 460 kg minyak masak botol dan lebih daripada 1,176 kg gula pasir kasar.

“Pemeriksaan ke atas premis tersebut mendapati, mereka mempunyai lesen yang sah dan menjual minyak masak peket mengikut peraturan yang ditetapkan tetapi stor mereka pula tidak dilesenkan,” katanya dalam sidang akhbar di stor penyimpanan KPDNHEP, Krubong di sini hari ini.

Norena berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain dari premis yang dilesenkan.

Katanya, sabit kesalahan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun jika kesalahan dilakukan orang perseorangan.

“Jika suatu pertubuhan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan pertama atau tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“KPDNHEP memberi amaran kepada peruncit untuk tidak menyimpan barangan kawalan lebih daripada yang disyaratkan, jika tidak tindakan tegas akan diambil ke atas mereka termasuk mengheret ke mahkamah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.