Status UNESCO tiada makna, pencemaran Tasik Chini tak terkawal

Status UNESCO tiada makna, pencemaran Tasik Chini tak terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap Tasik Chini pun tidak berguna apabila pembalakan dan pencerobohan hutan terus berlaku hingga merosakkan ekosistemnya.

Itu persoalan yang dibangkitkan oleh Tok Batin Kampung Gumum di Tasik Chini, Awang Alok yang berkata, kesan pencemaran di tasik legenda itu seolah-olah tidak terkawal sehingga menjejaskan kehidupan komuniti Orang Asli.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Awang berkata, pengikti­ra­fan badan dunia itu tidak me­ngubah nasib malang yang me­nimpa Tasik Chini apabila hu­tan di persekitarannya terus di­tarah dengan rakus sehingga me­musnahkan ekosistem dan men­jadikan ia ‘tasik mati’.

“Di sini ada kawasan UNESCO. Tak tahu di mana sempadannya. Sampai ke tempat melombong dan membalak semua jadi kawasan UNESCO. Saya kata, kawasan UNESCO pun tak boleh ubah (Tasik Chini), tutuplah juga. Ada UNESCO pun tak guna.

“Sebab walaupun dapat taraf UNESCO, perlombongan beria-ia juga (dijalankan). Kawasan bio­sferalah, entahlah saya pun tak reti nak menyebutnya,” katanya sewaktu ditemu bual, baru-baru ini.

Tasik Chini diiktiraf sebagai Rizab Biosfera oleh UNESCO pada Julai 2009. Pada 2014, Banjaran Crocker di Sabah pula disenaraikan sebagai tapak rizab biosfera kedua Malaysia.

Terdapat lima lagi lokasi yang diiktiraf UNESCO iaitu Taman Negara Mulu di Sarawak (tahun 2000), Taman Negara Kinabalu di Sabah (tahun 2000), Bandaraya Melaka di Melaka (tahun 2008), George Town di Pulau Pinang (tahun 2008) dan Lembah Lenggong di Perak (tahun 2012).

Namun, sejak Julai lalu isu pengiktirafan UNESCO terhadap Tasik Chini mencetuskan kontroversi.

Ia susulan pencemaran yang berpunca daripada perlombo­ngan dan pembalakan di sekitar tasik tersebut, sehingga tinjauan berkala pertama badan tersebut mendapati tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian dari pada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Menjelaskan lanjut, Awang berkata, meskipun usaha membaik pulih kesan pembalakan dan perlombongan sudah dibuat dengan menanam pokok-pokok, sejauh mana hutan seliling tasik itu dapat dikembalikan ke bentuk asalnya, masih menimbulkan tanda tanya.

“Mungkin Jabatan Perhutanan diarahkan untuk tanam semula pokok. Nak tanam semula pokok, nak jadikan pokok itu macam asal, berapa tahun gamaknya? Yalah, boleh juga tanam, tapi nak pulih jadi hutan semula, tak tahu jadi atau tak jadi,” soalnya.

Menyatakan harapannya, Awang menyeru semua pihak supaya tidak lagi mengulangi aktiviti perlombongan dan pembalakan, untuk memulihara tasik tersebut agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

“Bila sudah ditutup di kawasan sekitar Tasik Chini, tak boleh membalak lagi, cukuplah setakat itu. Bila sudah tutup lombong itu, tutuplah terus. Jangan diulang-ulang lagi. Itulah harapan saya,” katanya.

Semalam, akhbar ini mela­porkan, sebanyak 10 kampung yang terletak antara Jambatan Paloh Hinai dan Kampung Lubuk Paku sejauh kira-kira 50 kilometer di pesisir Sungai Pahang, bakal pupus ekoran kehilangan tarikan ekonomi disebabkan penerokaan hutan dan perlombongan hingga menjejaskan ekosistem teruta­ma di Tasik Chini.

Tinjauan dari Kampung Lubuk Paku ke Paloh Hinai dan merentasi Sungai Pahang ke Kampung Kuala Sungai Chini mendapati, sejumlah 10 kampung kini di ambang kepupusan kerana tiada lagi generasi muda yang mahu menetap dan mewarisi kampung-kampung tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×