SPRM sahkan Najib arah pinda laporan audit 1MDB

SPRM sahkan Najib arah pinda laporan audit 1MDB

NAJIB Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam bagi dakwaan berhubung laporan audit 1MDB. – FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Ra­su­­ah (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah me­nga­rahkan agar laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda bagi melindu­ngi dirinya daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah

Menurut Penguasa Kanan SPRM, Haniff Lami, siasatan yang dijalankan pada tahun 2018 itu juga menunjukkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Arul Kanda Kandasamy bersu­bahat dengan Najib untuk berbuat demikian bagi tujuan yang sama.

“Berdasarkan siasatan saya, tertuduh kedua (Najib) telah menggunakan kuasanya sela­ku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada ketika itu de­ngan mengarahkan supaya La­poran Pengauditan 1MDB di­pinda sebelum ia dapat dibentang­kan di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 24 Februari 2016. Bagi Arul Kanda Kandasamy (tertuduh pertama), dia telah bersubahat dengan Najib dalam kes ini.

“Hasil siasatan saya menun­jukkan bahawa perkara itu dilakukan oleh kedua-dua tertuduh untuk melindungi diri mereka daripada sebarang tin­­dakan sivil atau jenayah ber­­kaitan dengan perjalanan ope­rasi 1MDB,” kata saksi pendakwaan ke-16 itu.

Menurut pernyataan saksi­nya, siasatannya menunjukkan Najib telah mengarahkan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh untuk mendapatkan la­poran terbabit dan menyerahkan salinan laporan kepada Arul Kanda untuk disemak.

“Tertuduh kedua kemudian mengarahkan supaya satu pertemuan dibuat di pejabatnya di Putrajaya pada 22 Februari 2016 di mana ia turut dihadiri Tan Sri Ambrin Bin Buang (Bekas Ketua Audit Negara) dan Tan Sri Ali Hamsa (Bekas Ketua Setiausaha Negara).

“Dalam pertemuan itu, tertuduh kedua mengarahkan Ali untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan antara Jabatan Audit Negara (JAN) dan bekas Perdana Menteri itu bagi membincangkan perkara yang beliau (Najib) tidak berpuas hati dengan laporan itu dikeluarkan JAN dan untuk laporan itu tidak dicetak hingga mendapat kebenarannya,” katanya.

Sementara itu ketika disoal balas oleh peguam bela Najib, Rahmat Hadzlan, saksi itu menafikan bahawa pendakwaan terhadap kedua-dua individu itu dibuat sebelum siasatan dilengkapkan.

Ini kerana, rakaman percakapan kedua-dua tertuduh telah diambil lebih awal iaitu kira-kira empat hari sebelum tangkapan dibuat.

“Kali pertama rakaman percakapan Najib dibuat ialah pada 6 Disember 2018. Pada ketika itu rakaman percakapan itu diambil sebagai saksi,”katanya.

Apabila siasatan telah lengkap, tangkapan telah dibuat terhadap Najib dan Arul Kanda; masing-masing pada 10 dan 11 Disember 2018, yang mana pada tarikh tersebut satu lagi rakaman percakapan (sebagai suspek) telah dibuat.

Najib dan Arul Kanda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 18 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya