Sorok 92 PATI Myanmar dalam sebuah rumah penampungan

Sorok 92 PATI Myanmar dalam sebuah rumah penampungan

MUHAMMAD Zaki Harun (kiri) bersama anggota memeriksa kenderaan yang digunakan untuk menyeludup PATI semasa sidang akhbar di IPD Kota Bharu, Kelantan hari ini. - FOTO/KAMARUL BISMI KAMARUZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kegiatan lapan lelaki yang menyembunyikan seramai 92 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk 21 orang wanita terbongkar selepas polis menggempur sebuah rumah penampungan di Kampung Belukar Pauh, Panji di sini pada Selasa lalu.

Serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan anggota dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu bersama Unit Risikan Sempadan Zon Timur di rumah itu kira-kira pukul 4.40 pagi.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, kesemua PATI berusia 16 hingga 51 tahun yang ditahan dipercayai masuk secara haram melalui Sungai Golok apabila mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, 92 orang PATI itu dipercayai masuk ke negara ini pada 13 Ogos lalu iaitu tiga hari sebelum mereka dicekup.

“Mereka ditempatkan di rumah penampungan itu sebelum dihantar ke Selangor dan Kuala Lumpur untuk bekerja. 

“Selain itu, tujuh daripada lapan lelaki berusia 17 hingga 43 tahun yang ditahan dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ untuk membawa keluar kesemua PATI itu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kota Bharu di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, kesemua ‘transporter’ tersebut menerima bayaran sebanyak RM1500 daripada setiap ejen yang sedang menunggu untuk menghantar PATI itu dua negeri tersebut.

Katanya, dalam serbuan di rumah penampungan itu, polis turut merampas tiga buah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire, Toyota Innova dan Perodua Alza, sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Honda HRV dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

“Susulan daripada penahanan tujuh suspek dan 92 orang PATI itu, polis berjaya menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza di hadapan sebuah premis di Kompleks Niaga, Wakaf Che Yeh di sini keesokan harinya kira-kira pukul 5.15 pagi.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan seorang lagi lelaki yang merupakan suspek kelapan kes tersebut. Suspek mengaku berperanan sebagai pengatur kepada tujuh orang ‘transporter’ itu untuk membawa keluar kesemua PATI,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, ujian saringan air kencing mendapati lapan lelaki itu negatif dadah, namun ada dalam kalangan mereka mempunyai rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah,

Katanya, kelapan-lapan suspek ditahan di bawah Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala 92 orang PATI itu disiasat mengikut Akta Imigresen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN