MARANG: Dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun ketika berusia 18 tahun, seorang bekas banduan kini membina kehidupan baharu sebagai penenun songket selepas dibebaskan pada 2023.
Hazli (bukan nama sebenar), 36, bagaimanapun hanya menjalani hukuman selama 13 tahun empat bulan selepas mendapat pengampunan.
Katanya, sokongan keluarga menjadi kekuatan utama untuknya berubah malah mereka tidak pernah meminggirkannya sepanjang berada di sebalik tirai besi.
“Alhamdulillah, keluarga sentiasa memberi semangat dan datang melawat saya. Itu yang buat saya terus kuat dan bertekad untuk berubah,” katanya ketika ditemui di sini.
Hazli berkata, sepanjang menjalani hukuman di Penjara Marang, dia berpeluang mempelajari pelbagai kemahiran termasuk menjahit dan menenun songket.
Katanya, minat terhadap bidang tenunan mula timbul selepas melihat kekosongan di bengkel berkenaan.
“Pada mulanya saya ditempatkan di bengkel jahitan selama tiga tahun tetapi lebih berminat dengan kerja menenun. Selepas melihat mesin tenunan kosong selepas banduan lain dibebaskan, saya ambil peluang bertanya kepada pegawai untuk mencuba,” katanya.
Menurut Hazli, dia mempelajari asas tenunan selama enam bulan sebelum benar-benar mahir mengendalikan mesin tersebut.
“Saya berada di bengkel songket dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari. Biasanya saya dapat menyiapkan sehelai songket dalam tempoh sebulan berdasarkan tempahan pihak penjara,” katanya.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, setiap kerja yang dilakukannya diberi bayaran dan dia dapat mengumpul sebanyak RM17,000 sebelum dibebaskan.
“Memang terkejut dapat jumlah itu tetapi saya bersyukur kerana wang tersebut menjadi modal untuk saya memulakan hidup baharu,” katanya.
Menurutnya, pengalaman di penjara terutama ketika Ramadan dan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri, adalah detik paling mencabar kerana tidak dapat bersama keluarga. – UTUSAN










