KUALA LUMPUR: Konflik geopolitik yang berlarutan di Asia Barat dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi global apabila gangguan bekalan tenaga mula menjejaskan pelbagai industri hiliran serta pengguna akhir di seluruh dunia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, impak sebenar konflik ini bukan sahaja tertumpu kepada sektor minyak dan gas, malah akan merebak ke pelbagai sektor penting termasuk teknologi, kesihatan dan pertanian.
“Minyak dan gas memainkan peranan penting dalam kehidupan harian, namun ramai terlepas pandang kepentingan bahan lain seperti helium yang digunakan dalam mesin pengimejan resonan magnetik (MRI), pembuatan semikonduktor, komputer dan peralatan rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Majlis Perasmian sempena Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.
Menurut Tengku Muhammad Taufik, gangguan bekalan baja seperti urea dan ammonia juga dijangka menjejaskan pengeluaran pertanian global, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan makanan terutama menjelang musim penanaman di banyak negara.
“Keadaan bertambah buruk apabila premium insurans meningkat akibat risiko penghantaran di kawasan konflik, di samping cabaran logistik dan ketidaktentuan pelaburan global.
“Institusi kewangan dan pelabur kini semakin berhati-hati dalam menentukan aliran modal, manakala kos operasi perniagaan dijangka meningkat secara mendadak.
“Struktur kos perniagaan global kini berada pada tahap yang tidak pernah dijangka sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, gabungan kenaikan kos dan permintaan yang lemah kini mendorong ekonomi dunia ke arah risiko stagflasi , situasi ekonomi yang dicirikan oleh inflasi tinggi dan pertumbuhan perlahan.
Katanya, sekiranya keadaan ini berlarutan, dunia mungkin berdepan tempoh stagflasi yang panjang dan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih.
“Kita kini berada di ambang bencana tenaga global,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, krisis ini menyerlahkan satu realiti penting iaitu tanpa bekalan hidrokarbon yang stabil dan mampu milik, ekonomi global boleh terhenti sepenuhnya.
“Walaupun komitmen terhadap kelestarian dan perubahan iklim kekal penting, keselamatan tenaga dilihat sebagai prasyarat utama untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan taraf hidup,” katanya.
Tengku Muhammad Taufik berkata, rantau ASEAN yang mempunyai lebih 700 juta penduduk turut menerima kesan langsung.
“Filipina telah mengisytiharkan darurat tenaga, Thailand memberi amaran tekanan terhadap dana bahan api, manakala Vietnam mula mengehadkan perjalanan.
“Di Malaysia, kerajaan mengurangkan kuota subsidi gas sebanyak satu pertiga dalam usaha menstabilkan bekalan tenaga domestik.
“Dalam masa yang sama, beberapa negara Asia termasuk India, Indonesia dan Korea Selatan kembali meningkatkan penggunaan arang batu bagi menampung kekurangan bekalan gas asli cecair (LNG). Peralihan ini dilihat sebagai langkah sementara, namun memberi kesan negatif kepada sasaran pengurangan karbon global,” katanya. – UTUSAN










