fbpx

Serangan kejam Israel bunuh orang awam Palestin dikutuk

SAIFUDDIN ABDULLAH

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang meragut banyak nyawa orang awam termasuk lima kanak-kanak.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, insiden kejam itu sendiri jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat.

“Justeru, Malaysia seru masyarakat antarabangsa untuk segera beri tekanan kepada Israel bagi menghentikan serta-merta keganasan ke atas Palestin,” katanya menerusi kenyataan.

Lewat malam tadi, sekurang-kurangnya 15 maut termasuk komander Jihad Islam Palestin, Tayseer al-Jaabari ekoran serangan udara oleh tentera penceroboh rejim Zionis di Gaza.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin mendakwa, seramai 40 orang lagi cedera dalam serangan roket yang disasarkan pasukan Tel Aviv terhadap kawasan amat padat penduduk tersebut.

Saifuddin berkata, komuniti sejagat wajar mencela rejim Zionis itu atas sikap provokasi yang mementingkan diri sendiri dan dasar apartheid terhadap hak asasi Palestin.

“Langkah keras Israel itu menjejaskan kehidupan dan maruah warga Palestin daripada pelbagai latar agama di tanah air mereka dengan pendekatan berbeza dalam isu konflik,” katanya.

Sehubungan itu, Malaysia menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi serta solidariti teguh bersama Palestin dalam mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!