Semoga jadi pengajaran – Bapa - Utusan Malaysia

Semoga jadi pengajaran – Bapa

NUR Asyqin Qistina M. Nor Zawawi meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: M. Nor Zawawi Awang yang hilang anak perempuannya selepas maut akibat menggunakan telefon pintar ketika kejadian ribut petir kelmarin, berharap tragedi itu dijadikan iktibar oleh seluruh masyarakat di negara ini.

M. Nor Zawawi, 54, dari Kampung Baru Sungai Raya Luar di sini berkata, sikap tidak meng­endahkan persekitaran iaitu hujan dan petir mengakibatkan Nur Asyqin Qistina, 12, maut terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon yang sedang dicas.

Mangsa yang merupakan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis ditemukan terbaring di atas tilam bilik tidurnya dengan kesan terbakar pada bahagian lengannya.

“Ketika kejadian berlaku dentuman petir yang kuat sehingga mengakibatkan tenaga solar di rumah terpadam. Kira-kira 15 minit kemudian isteri, Siti Noraini Rashid, 41, memaklumkan anak perempuan pengsan di tempat tidur.

M. Nor Zawawi menunjukkan telefon pintar milik anak perempuannya yang digunakan ketika kejadian di Kampung Baru Sungai Raya Luar, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

“Saya terus masuk ke dalam bilik dan mendapati Nur Asyqin Qistina tidak sedarkan diri. Di tangan kanannya terdapat telefon dan pengecas telefon bimbit berdekatannya. Saya juga melihat tangan kanan anak terdapat kesan lecur dan kesan terbakar pada tilam tempat tidurnya,” katanya.

M. Nor Zawawi memberitahu, isterinya memaklumkan sebelum kejadian anaknya sedang berbual dengan rakan di telefon sambil mengecasnya.

Katanya, dia sempat makan tengah hari dengan mangsa selepas Nur Asyqin Qistina pulang dari SK Kuala Betis.

“Pada pukul 4 petang sebelum saya ke masjid untuk solat asar kami sempat berbual. Saya berharap tragedi yang menimpa Nur Asyqin Qistina dapat dijadikan pengajaran kepada orang ramai supaya hati-hati menggunakan telefon ketika hujan atau ribut petir,” jelasnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati punca kematian mangsa adalah kesan renjatan elektrik daripada kejadian sambaran petir terhadap alat penyongsang (inverter) solar rumahnya.

“Ketika kejadian terdengar dentuman petir yang kuat sebelum bapa mangsa pulang ke rumah dan telah dimaklumkan tenaga elektrik yang terhasil pada sistem solar itu telah ter­padam.

“Bapa mangsa telah menghubungi pembaiki inverter solar dan diberitahu alat sistem solar rumah mereka telah rosak akibat daripada panahan petir,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.