Selenggara segera menara jam Dataran Stadthuys

Selenggara segera menara jam Dataran Stadthuys

PELANCONG gemar menjadikan tulisan I Love Melaka sebagai latar gambar namun keadaan menara jam di Banda Hilir, Melaka yang sedang dalam proses penyelenggaraan merencatkan pemandangan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerja-kerja pembaikan menara jam Tan Beng Swee di Dataran Stadthuys, Banda Hilir di sini perlu disiapkan segera supaya tidak mencacatkan pemandangan di kawasan tumpuan pelancong itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga, Hasyim Ahmad Ali, 21, berkata, penyelenggaraan menara jam itu tidak menunjukkan sebarang kemajuan setelah hampir enam bulan pagar besi diletakkan pihak berwajib.

“Saya ada melihat pekerja melakukan tugas mereka tetapi dalam dua atau tiga hari sahaja. Kemudian pihak berwajib memasang pagar besi dan dibiarkan tanpa ada kerja susulan.

“Baru-baru ini papan makluman projek diletakkan dan kerja baik pulih disambung semula. Saya harap perjalanan projek ini dipantau agar segera disiapkan kerana peralatan penyelenggaraan yang ditempatkan di situ membuatkan pelancong hilang perasaan untuk bergambar,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan akhbar ini mendapati, terkini papan makluman projek baik pulih diletakkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan terdapat beberapa pekerja sedang bertugas.

Maklumat pada papan makluman berkenaan memberitahu, proses baik pulih bermula secara rasmi pada 12 Julai lalu dan dijangka siap 13 Oktober ini.

Sebelum ini, projek yang didakwa tertangguh sejak awal tahun itu mengundang pertanyaan orang ramai berhubung status projek serta tarikh akhir untuk disiapkan.

Dalam pada itu, pelancong, Faiz Hakim Samsudin, 24, berkata, walaupun usaha penyelenggaraan bangunan bersejarah adalah baik, ia perlu dilakukan dengan perancangan yang rapi dan teratur.

Katanya, ia penting bagi memastikan tiada kerja-kerja pembaikan tertangguh separuh jalan.

“Dataran ini adalah kawasan tumpuan pelancong. Lokasi menara jam pula bersebelahan tulisan I Love Melaka yang menjadi latar wajib setiap kali bergambar.

“Palang besi, jaring hijau dan pagar di sekeliling menara jam ini membuatkan tidak sedap mata memandang. Jika lambat siap maka imej Melaka sebagai destinasi pelancongan antarabangsa turut tercalar,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya