KUALA LUMPUR: Bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang semakin berleluasa, Meta Malaysia mengambil pendekatan meneruskan kempen #TakNakScam edisi kedua untuk terus mendidik pengguna.
Kempen yang dilancarkan itu memberi fokus kepada lima kategori penipuan dalam talian yang paling berleluasa iaitu penipuan e-dagang, pinjaman wang haram, penipuan, pekerjaan, penipuan pelaburan dan keldai wang.
Pengarah Negara Meta Malaysia, Nicole Tan berkata, kempen itu meneruskan seruan kepada orang awam untuk sentiasa berwaspada menerusi tiga langkah iaitu kenal pasti, semak dan lapor.
Menurutnya, kempen tersebut turut menampilkan inisiatif baharu iaitu melalui platform digital dalam mendidik masyarakat tentang penipuan sebagai usaha mencegah kegiatan tersebut semakin berleluasa.
“Antaranya adalah modul Pencegahan Penipuan We Think Digital, modul ini akan disediakan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan tujuan meningkatkan pendidikan awam tentang penipuan dalam talian. Seramai 1,900 telah mempelajari modul ini melibatkan 200 buah sekolah.
“Kami percaya metaverse akan menjadi pengganti bagi internet mudah alih. Sementara is tiba, AR/VR dapat memberi gambaran awal tentang sedalam mana pengalaman yang boleh diwujudkan melaluinya,” katanya semasa pelancaran kempen #TakNakScam di di sini.
Sebelum ini, kempen itu dilancarkan pada Julai tahun lalu sebagai edisi pertama dengan tujuan meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang cara mengenal pasti taktik penipuan yang digunakan oleh sindiket.
Kempen yang berlangsung selama lima bulan tersebut berjaya mendapat sambutan orang awam apabila meraih lebih dua juta capaian dan lebih 100,000 klik pada pautan menerusi pelbagai saluran media social.
Kempen influencer melalui rakan kongsi pemasaran Meta juga berjaya mencapai hampir lima juta dan jumlah penglibatan lebih 23,000 serta sokongan daripada selebriti tempatan seperti Chef Wan yang mengadakan pelbagai kandungan sosial berkenaan kempen tersebut.
Mengulas lanjut, Nicole berkata, dalam kempen tersebut juga akan membuat kerjasama bersama pencipta kandungan SparkAR untuk menghasilkan siri Instagram AR Filters untuk menawarkan pengalaman yang lebih dalam pembelajaran tentang pencegahan penipuan.
“Kami juga akan mendidik penjual tentang cara melindungi pelanggan dan pengalaman jenama mereka di platform kami sebagai usaha untuk mengimbangi pendidikan antara pengguna serta penjual,” jelasnya.










