fbpx

Saman 1MDB terhadap Irwan, Arul didengar hakim baharu

KUALA LUMPUR: Perbicaraan permohonan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy untuk membatalkan saman difailkan 1MDB, didengar di hadapan hakim baharu. 

Menurut peguam bela Mohd Irwan, Lavinia Kumaraendran, pertukaran itu dibuat susulan hakim terdahulu, Hakim Datuk Amarjeet Singh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas dan digantikan dengan Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain. 

Bagaimanapun, tarikh pendengaran permohonan tersebut itu dikekalkan pada 19 Oktober ini dan mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 27 September ini. 

Permohonan bagi kedua-dua defendan, Mohd Irwan dan Arul Kanda didengar serentak di hadapan hakim baharu. 

ARUL KANDA KANDASAMY

Mohd. Irwan memohon saman itu dibatalkan atas alasan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

Arul Kanda dan Mohd. Irwan disaman 1MDB Mei tahun lalu, 1MDB menuntut kedua-dua defendan membayar USD6.59 bilion dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Berdasarkan afidavit 1MDB, kedua-dua individu itu dikatakan melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah USD1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah USD3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan USD1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Mohd Irwan didakwa berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!