Sabah pantau penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah

Sabah pantau penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah

MOHD. Arifin Mohd Arif (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pelajar cemerlang peperiksaan SMU di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memantau secara ketat penyebaran ajaran Hadi Minallah yang dipercayai sudah mula dibawa masuk ke beberapa negeri di Malaysia.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, kerajaan melalui Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan pegawai-pegawai agama di peringkat daerah perlu lebih peka kepada perkara ini agar ajaran yang menyeleweng sebegini tidak tersebar.

“Walau bagaimanapun, saya belum menerima sebarang laporan mengenai penyebaran ajaran ini.

“Namun, saya akan dapatkan maklumat daripada bahagian penguatkuasaan Jheains dan selepas itu kita akan membuat ketetapan melalui Jheains dan Pejabat Mufti Negeri Sabah,” katanya selepas mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) hari ini.

Sebelum ini, terdapat laporan Kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal daripada Indonesia itu dipercayai sudah tersebar di beberapa negeri di Malaysia.

Kumpulan itu dipercayai aktif menyebarkan dakyah ajaran sesat melalui laman Youtube di bawah Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Menteri bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Agama Negeri itu berkata, apa-apa ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunah Wal-Jamaah perlu dilaporkan dengan Jheains dan pejabat Mufti.

“Kita akan memantau di setiap daerah kerana kita mempunyai pegawai tadbir, imam-iman masjid dan guru-guru agama yang perlu peka terhadap isu-isu sebegini. Apa-apa yang rakyat atau masyarakat dengar yang canggung dan tidak sesuai boleh laporkan kepada Jheains,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Pendidikan Negeri itu berkata, daripada 376 calon peperiksaan SMU 2021, 335 orang calon lulus dengan memperoleh sekurang-kurangnya maqbul (lulus) dalam peperiksaan yang dilaksanakan pada 7 hingga 16 Februari lalu.

Peratus kelulusan peperiksaan SMU 2021 menunjukkan sedikit penurunan iaitu daripada 89.9 peratus kepada 89.42 peratus disebebkan beberapa faktor termasuk pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan pelajar terpaksa mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Antara pelajar cemerlang bagi SMU Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) ialah Nur Damia Hasanuddin, Dayang Noraini Raimee dari Sekolah Menengah Islamiah Tawau yang memperoleh sembilan mumtaz (cemerlang), satu jayyid jiddan (terbaik) dan satu jayyid (baik).

Pelajar cemerlang SMU Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) pula ialah Muhammad Rujhan Bambang Muhamad Rafadi Yusoff yang memperoleh empat mumtaz dan dua jayyid jiddan serta Chairul Amrie Rudy yang memperoleh tiga mumtaz dan tiga jayyid jiddan. Kedua-dua mereka dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Kunak.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya