Empat sekeluarga maut: Pemandu treler positif dadah direman empat hari

Empat sekeluarga maut: Pemandu treler positif dadah direman empat hari

PEMANDU treler dibawa ke Mahkamah Majistret Raub, Pahang bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Pemandu treler yang didapati positif dadah dan terlibat dalam kejadian kemalangan mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Bentong, dekat sini direman empat hari bermula hari ini.

Majistret Siti Aisyah Ahmad membenarkan perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 40 tahun dan berasal dari Kedah itu bagi membantu siasatan.

Terdahulu suspek yang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Bentong ditahan pada pukul 4 pagi untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

Semalam, empat individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah treler membawa muatan habuk kayu dalam kemalangan di kilometer berkenaan.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu adalah, A. Halim Hasoon, 55; isterinya, Rozita Buang, 58, anak perempuan mereka, Norbahyah A. Halim, 26, serta cucu perempuan, Nayla Afya Aizat berusia setahun.

Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan selepas berjaya dikeluarkan daripada kereta jenis Honda City yang remuk teruk akibat dihempap treler terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN