PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Türkiye bagi melaksanakan perolehan sebuah kapal Platform Pemerintahan Pelbagai Guna (MPCP) sebagai ganti kepada Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) yang telah ditamatkan operasinya baru-baru ini.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan berkata, MoU ditandatangani antara Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan Naib Presiden Sistem dan Platform, Sekretariat Industri Pertahanan (SSB) Mustafa M. Şeker.
Katanya, keputusan bagi memperoleh aset tersebut diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) selepas mengambil kira landskap keselamatan semasa selain kos penyelenggaraan PL TSR yang semakin tinggi.
“Kapal MPCP yang bakal diperoleh berkonsepkan mobiliti tinggi, dilengkapi teknologi lebih maju serta mampu beroperasi dengan lebih cekap dan berkesan berbanding pelantar statik yang digunakan sebelum ini.
“Pelaburan berimpak tinggi ini mencerminkan kesungguhan dan tekad kerajaan untuk menyediakan instrumen pertahanan dan keselamatan yang moden bagi melindungi kepentingan ekonomi negara, khususnya di kawasan berisiko,” katanya hari ini.
PL TSR secara rasminya dibubarkan baru baru ini selepas hampir sedekad menjadi benteng hadapan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Pangkalan itu mula beroperasi pada 31 Julai 2015 merupakan sebuah platform Platform Mobile Offshore Production Unit yang dikenali sebagai Hercules 259 dengan dibina di Houston, Amerika Syarikat pada tahun 1973.
Dalam pada itu, MKN berkata,kerjasama strategik itu dijangka memperkukuh keupayaan pertahanan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks di rantau ini. – UTUSAN










