Remaja 17 tahun pandu Vellfire kantoi bawa 19 PATI - Utusan Malaysia

Remaja 17 tahun pandu Vellfire kantoi bawa 19 PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan seorang remaja membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) mengundang padah apabila dia ditahan di Jalan Selinsing, dekat sini kelmarin.

Penahanan remaja berusia 17 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 12.05 tengah hari selepas kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire yang membawa 19 warga asing dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada mulanya, rondaan dijalankan Ketua Balai Polis Jinjang di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan dalam keadaan yang mencurigakan.

Kata beliau, ketika dihampiri, kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire itu memecut laju dan enggan berhenti.

“Polis mengejar kenderaan berkenaan yang kemudiannya melanggar motosikal ditunggangi anggota polis termasuk tiga kereta di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Eng Lai, pemeriksaan lanjut mendapati di bahagian tempat duduk belakang terdapat 19 lelaki dan enam wanita berusia 15 hingga 39 tahun.

Jelasnya, hasil semakan identiti mendapati semua penumpang tidak memiliki pengenalan diri dan dokumen perjalanan sah.

“Pemandu yang ditahan mengaku tiba dari Rantau Panjang di Kelantan bagi membawa masuk PATI terbabit untuk bekerja di negara ini.

“Caj RM6,000 dikenakan kepada setiap PATI yang dibawa untuk mencari pekerjaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, seorang lelaki warga tempatan bagaimanapun melarikan diri ketika kemalangan berlaku.

“Semua suspek ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya