PETALING JAYA: Suasana sambutan bulan kebangsaan tahun ini kelihatan dingin dan tidak bersemangat berpunca daripada rakyat yang tidak gembira dengan keadaan semasa negara.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, keadaan politik yang tidak stabil dan kegawatan ekonomi punca rakyat tiada semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang malah menyambut hari kebangsaan.
“Rakyat seolah-olah fed up dengan keadaan negara apatah lagi apabila kes rasuah projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) baru-baru ini, terdapat pihak yang sanggup menggadaikan kedaulatan negara.
“Negara serta politik perlu kembali lebih stabil supaya rakyat rasa gembira dan mempunyai semangat patriotik untuk menyambut hari kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini diadakan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini di Melaka.
Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 dipilih ‘Teguh Bersama’ yang selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia.
Teo Kok Seong berkata, Jalur Gemilang dilihat kurang berkibar di premis perniagaan dan bangunan-bangunan komersial yang mana pihak berkuasa harus mengambil tindakan untuk mewajibkan perkara tersebut.
“Sejak hampir 10 tahun lepas dapat dirasa kedinginan bulan kebangsaan berbanding sebelum itu yang mana boleh dilihat kawasan perumahan malah kereta persendirian mempunyai bendera berkibar.
“Sekarang dalam 30 kedai sebaris hanya dapat melihat satu kedai yang menggantung bendera Malaysia dan di kenderaan tidak dapat dilihat langsung,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya meneliti dan melaksanakan kajian punca situasi itu berlaku sejak 10 tahun kebelakangan ini memandangkan pandemik dan kegawatan ekonomi hanya berlaku beberapa tahun lepas.
“Walaupun banyak isu yang sedang berlaku, rakyat tetap harus meneruskan semangat patriotik dan tidak memulaukan bulan kebangsaan ini,” katanya. – UTUSAN