PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengakui sedang mempertimbangkan keputusan penting mengenai kedudukan masa depan politiknya termasuk memberi bayangan akan keluar daripada PKR.
Beliau namun memberitahu mahu terlebih dahulu mendapatkan pandangan penduduk Subang serta ahli keluarganya.
“Saya tahu ramai yang mahu saya buat keputusan dengan segera. Tetapi saya masih menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan pada masa sama perlu membuat keputusan yang besar.
“Saya sekarang sedang berjumpa dengan penduduk melalui sesi ‘teh tarik’. Saya mahu mendengar sendiri pandangan mereka sebelum membuat keputusan.
“Yang penting saya kena bincang dengan keluarga saya, hendak minta izin ibu dan ayah. Ahad minggu hadapan, saya akan balik Kelantan sekejap jumpa ibu ayah, tentang keputusan untuk buat apa selepas ini.
“Sebaiknya dia (PKR) pecat saya, senang. Kalau dia tak berani hendak pecat, saya yang kena buat keputusan. Saya cuma minta semua bersabar sedikit lagi, keputusan itu akan saya umumkan tidak lama lagi,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Kancil Parti Bersama Malaysia (Bersama) di Negeri Sembilan, malam tadi.
Dalam pada itu, Wong Chen menegaskan sebarang pertikaian atau perselisihan dalam PKR perlu diselesaikan melalui saluran parti dan bukannya sehingga memberi kesan kepada rakyat.
Menurut beliau, sekiranya wujud masalah antara dirinya dengan PKR, ia adalah isu dalaman parti yang perlu diuruskan mengikut proses yang betul tanpa melibatkan penggunaan jentera kerajaan atau menjejaskan kepentingan penduduk di kawasan Parlimennya.
“Kalau PKR dengan saya sudah tak ngam, ini merupakan hal dalaman PKR. Jadi kalau gaduh, selesaikan gaduh melalui proses parti. Kalau saya salah, parti boleh tunjuk mana kesalahan saya.
“Saya hendak ingatkan PKR dan PMX, parti PKR dan kerajaan bukan entiti yang sama. Parti bukan kerajaan, kerajaan bukan parti.
“Kalau gaduh isu parti, kena selesai melalui parti. Kalau pakai kerajaan untuk hukum saya dan penduduk Subang tanpa sebab dan alasan, itu namanya salah guna kuasa. Adakah ini cara kerajaan Madani?.
“Bila ahli Parlimen tanya tak berani jawab, kalau ini boleh dilakukan kepada Ahli Parlimen dalam kerajaan, benda ini juga boleh dilakukan ke atas semua orang,” katanya
HABIS
Mughsot
WONG CHEN










