Pusat selam skuba diberi penarafan gred

Pusat selam skuba diberi penarafan gred

SEBAHAGIAN peserta program Selaman Skuba Merdeka Bidong 2022 di 2022 di Pulau Bidong, Kuala Nerus, Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Pusat selam skuba di negeri ini akan dilakukan penarafan penggredan bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan berkualiti dengan tahap keselamatan yang lebih terjamin dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, ketika ini pihaknya dalam proses mengenal pasti pusat selam skuba yang beroperasi terutama di pulau-pulau peranginan negeri itu.

“Setakat ini, kita tiada data rasmi yang berdaftar dengan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu kerana ini adalah perkara baharu yang ingin kita laksanakan (penarafan pusat selam skuba).

“Namun, berdasarkan makluman awal, terdapat kira-kira 50 pusat selam skuba di seluruh Terengganu dan angka itu masih belum rasmi kerana milik persendirian juga akan kita senaraikan.

“Buat masa ini, kita tiada kawalan sepenuhnya terhadap pusat selam skuba yang beroperasi, jadi penarafan ini nanti akan dijadikan rujukan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai beserta aspek keselamatan yang dititikberatkan agar penyelam skuba yang datang ke Terengganu lebih yakin dengan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Selaman Skuba Merdeka Bidong 2022 di Pulau Bidong, di sini semalam.

Lebih 200 penyelam skuba dari seluruh negara menyertai program tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata penarafan itu akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengikut kriteria tertentu.

“Apabila penarafan ini selesai kelak, ia akan melonjakkan lagi industri pelancongan di Terengganu terutama aktiviti selam skuba di pulau-pulau peranginan kerana peminat sukan rekreasi itu mempunyai banyak pilihan yang sesuai dengan keperluan dan bajet mereka.

“Ketika ini, jabatan telah mengenal pasti 200 kawasan tumpuan penyelam skuba di sekitar Terengganu antaranya Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Tenggol dan Pulai Bidong.

“Setiap lokasi ini mempunyai identiti tersendiri yang memukau dan penarafan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran mengenai aktiviti pemuliharaan alam sekitar dan khazanah dasar laut milik negara yang dicintai,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN