KUALA TERENGGANU: Pertumbuhan sektor pertanian disasar meningkat dengan positif lebih 4.6 peratus setahun dan dijangka menyumbang antara 15 hingga 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran itu mampu tercapai sekiranya kesemua tanah pertanian dapat dimanfaatkan, pengeluaran bahan mentah makanan haiwan ditingkatkan dan peratus pekerja dalam sektor pertanian perlu digalakkan.
Katanya, pengeluaran hasil pertanian mesti difokuskan kepada komoditi makanan yang utama terutamanya beras, ikan dan daging selain buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Ini bagi memastikan Terengganu dapat menyediakan bekalan makanan mencukupi, meningkatkan hasil pengeluaran sekali gus menjamin sekuriti makanan dalam negeri,” katanya dalam ucaptama ketika merasmikan Persidangan Terengganu Sejahtera di sini, hari ini.
Selain itu, Ahmad Samsuri berkata, walaupun banyak pencapaian yang boleh dibanggakan dengan pelbagai data dan statistik sepanjang 51 bulan pemerintahannya, namun pimpinan negeri dan penjawat awam tidak boleh berada di zon selesa dan memandangnya secara mudah.
“Saya amat berharap agar agenda-agenda ini diterjemahkan dalam rancangan dan tindakan strategik di peringkat portfolio, jabatan dan agensi masing-masing. Jadilah pemudah cara kepada rakyat tanpa mengira fahaman ataupun latar belakang mereka.
“Kita mestilah membina keupayaan sendiri supaya tetap mampu untuk mengharungi, menyesuaikan diri dan bertumbuh dalam pelbagai situasi yang sukar, yang sedang berlaku pada waktu ini dan akan terus berlaku di waktu yang akan datang,” katanya.- UTUSAN










