"Semakan pihak kami mendapati bahawa program ini dijalankan

Pertandingan ‘Melukis Potret Negarawan Johor’ hanya inisiatif sekolah – Exco

POSTER pertandingan melukis potret Negarawan Johor yang memaparkan wajah Menteri Besar Johor dan Exco Kerajaan Negeri yang tular.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan arahan kepada sekolah-sekolah untuk menganjurkan Pertandingan Melukis Potret Negarawan Johor yang memaparkan wajah Menteri Besar Johor dan barisan Exco Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh tampil membuat penjelasan itu selepas tular sebuah poster pertandingan melukis potret negarawan Johor hari ini.

Norliza berkata, pertandingan seumpama itu yang diadakan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan adalah insiatif sekolah tersebut dan tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri Johor tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk menjalankan pertandingan ini.

“Semakan pihak kami mendapati bahawa program ini dijalankan atas inisiatif pihak sekolah berkenaan sebagai pengisian Bulan Kemerdekaan untuk pelajar mereka.

“Selaku Exco Pendidikan, saya menghargai sikap proaktif guru-guru dalam menyemarakkan Bulan Kemerdekaan serta meraikan bakat pelajar Pendidikan Seni Visual,” katanya dalam entri terbaharu Facebook miliknya hari ini.

Sejak pagi tadi tular poster pertandingan itu yang dianjurkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fatimah Hashim, Pasir Gudang dengan memaparkan wajah Menteri Besar Johor dan empat Exco Kerajaan Negeri termasuk Norliza sebagai Negarawan Johor.

Poster itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk bekas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang secara sinis mempersoalkan mengapa ‘watak-watak’ politik perlu dilukis di sekolah.

“Wahai murid-murid Johor, watak politik pun kena lukis di sekolah. Oh silap, #negarawan… Jangan main-main, hadiah menang boleh jumpa Exco idola,” tulisnya secara sinikal di Facebook miliknya.

Wee Tse turut berharap pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang dapat menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Mengulas lanjut, Norliza berkata, penggunaan istilah ‘Negarawan Johor’ dalam poster yang ditularkan itu adalah amat tidak sesuai untuk dirujuk kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri yang masih berkhidmat.

“Saya memahami bahawa kesilapan ini telah memberikan imej buruk kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri Johor khususnya.

“Saya berharap isu ini tidak dipanjangkan dan menjadi bahan politik sehingga menjejaskan pihak guru serta sekolah yang terlibat,” katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha meningkatkan kemahiran dan menggilap bakat pelajar. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya