Perpecahan parti politik punca utama Melayu tidak dapat jadi teras kepimpinan negara - Utusan Malaysia

Perpecahan parti politik punca utama Melayu tidak dapat jadi teras kepimpinan negara

BERDASARKAN keadaan politik semasa, ramai yang meramalkan kemungkinan tiada mana-mana parti yang menang majoriti mudah secara solo, sebaliknya perlu mencari bantuan rakan gabungan. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perpecahan parti politik Melayu ketika ini merupakan punca utama mengapa orang Melayu tidak dapat menjadi teras kepimpinan negara sehingga terpaksa berdagang dalam politik.

Sehubungan itu veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, jika orang Melayu mahu menjadi teras dalam kepimpinan negara, maka penyatuan antara parti politik perlu dilaksanakan.

“Orang Melayu semua suka parti, sama ada parti untuk enjoy (suka-suka) atau parti politik, kalau mahu jadi mantap (parti politik) tidak boleh ada perpecahan.

”Jadi orang Melayu kena tentukan, kalau mahu jadi teras pada pimpinan, mereka perlu mewujudkan penyatuan, kalau tidak ada perkara ini, orang Melayu kena berdagang politik dan berdagang ini tidak bagus,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar sempena World Islamic Economic Forum (WIEF) Roundtable, di sini hari ini.

SYED HAMID ALBAR

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), parti Melayu berpecah kepada beberapa parti antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dalam pada itu, Syed Hamid yang merupakan bekas ahli Bersatu berkata, satu transformasi dari segi calon perlu dilakukan oleh parti-parti politik yang mana mereka perlu menampilkan orang muda sebagai calon PRU-15.

”Perlu ada calon PRU-15 terdiri daripada orang muda, ‘segar’ dan ada idea untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Orang lama ini boleh ada untuk beri nasihat dan panduan tetapi bukan lagi memainkan peranan utama,” katanya.

Tambahnya, kombinasi orang lama dan muka baharu di dalam PRU-15 dapat mewujudkan sinergi yang terbaik untuk setiap parti.

”Biarlah 80 peratus calon terdiri daripada orang muda yang tidak pernah bertanding dalam pilihan raya, lebih baik lagi yang tidak ada rekod. Kita mesti kena sedar ini adalah zaman orang muda, bila lagi kita nak beri peluang pada mereka,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai bilakah waktu yang sesuai untuk dijalankan PRU-15, beliau berkata, ia sewajarnya ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya