Permohonan Najib tangguh rayuan akhir gagal - Utusan Malaysia

Permohonan Najib tangguh rayuan akhir gagal

NAJIB Tun Razak hadir pada hari kedua perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara kesnya berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta di Mahkamah Persekutuan. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhir tersebut.

Hakim Tengku Maimun ketika membaca penghakiman ringkasnya, keadilan yang dilewatkan adalah keadilan yang dinafikan.

“Walaupun mengetahui tarikh perbicaraan telah ditetapkan lebih awal, perayu (Najib) masih lagi menamatkan perkhidmatan peguam lama dan melantik peguam baharu. Itu adalah haknya tetapi perayu tidak sepatutnya datang ke mahkamah dan menyatakan bahawa peguamnya tidak bersedia untuk menjalankan kes.

“Peguam baharu juga tidak boleh datang ke mahkamah dan meminta penangguhan atas alasan tidak bersedia. Mengikut kod etika amalan peguam, seseorang peguam tidak boleh menerima sesuatu kes dan kemudiannya datang ke mahkamah dan memberitahu bahawa anda tidak bersedia untuk menjalankan kes,” katanya.

Hakim Tengku Maimun kemudian memberitahu pendengaran rayuan itu akan bersambung Khamis ini.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan di antara tiga hingga empat bulan.

Jelasnya, beliau dilantik sebagai peguam bela Najib pada 21 Julai lalu dan kes ini membabitkan dokumen dan keterangan saksi yang ramai.

“Saya dengan rendah diri memohon agar saya dan pasukan saya diberikan peluang yang sewajarnya dan anak guam diberikan perlindungan yang sama rata.

“Saya dengan seikhlasnya merayu agar keadilan dilihat telah dilaksanakan. Berikan peluang kepada saya dan pasukan saya untuk membuat persiapan dan benarkan kami untuk kembali dan berhujah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V. Sithambaram menyerahkan keputusan berhubung penangguhan itu kepada budi bicara mahkamah.

“Mahkamah telah pun menolak permohonan penangguhan pendengaran rayuan ini sebanyak dua kali. Pihak pembelaan juga telah dimaklumkan sewaktu pengurusan kes bahawa rayuan ini akan tetap diteruskan seperti dijadualkan. Fakta kes ini telah ada tangan Mahkamah ini namun kami serahkan segalanya kepada budi bicara mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya