Letshanaa semakin matang, Justin kecewa lagi

Letshanaa semakin matang, Justin kecewa lagi

K. Letshanaa. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa semakin mempamerkan kematangan dalam permainan, walaupun kemaraannya disekat bintang No. 4 dunia, Chen Yu Fei pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Kallang, Singapura, hari ini.

Letshanaa yang kini naik ke ranking No. 30 dunia memberikan tentangan sengit sebelum tewas kepada jaguh China tersebut 21-19, 15-21, 17-21 dalam masa 1 jam 6 minit.

Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan Letshanaa menentang Yu Fei kini menjadi 0-2, tetapi, keputusan kedua-dua perlawanan tersebut menunjukkan kemajuan perseorangan No. 1 Malaysia itu.

Jika dalam aksi sulung bertemu Yu Fei pada Piala Sudirman, tahun lalu, Letshanaa kalah mudah dengan keputusan 8-21, 7-21 kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2022 di Tokyo, Jepun itu, namun, kali ini ia tidak berlaku.

Walaupun bintang handalan China itu masih muncul sebagai pemenang, Letshanaa sudah berhasil mencuri satu set dan memaksa Yu Fei bermain sehingga ke set penentuan yang mengambil masa lebih sejam.

Ketika diminta mengulas mengenai pertemuan itu, Letshanaa berkata, keyakinannya kini semakin baik dan persembahan juga lebih konsisten dalam setiap perlawanan yang diharunginya.

“Sudah tentu saya kecewa kerana gagal cipta kejutan, tetapi, saya gembira dengan persembahan saya, hari ini.

“Saya cuba mengubah kelajuan dalam permainan saya dan jurulatih banyak membantu saya beraksi dengan lebih efisien dari segi kelajuan serta serangan,” katanya kepada wakil Persekutua Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Menurutnya, pengalaman yang dimiliki Yu Fei telah mencipta jurang dalam pertemuan tersebut dan dia perlu belajar bagaimana untuk memberi tekanan seperti lawan lakukan ke atas dirinya.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, Justin Hoh turut terkandas di pusingan awal selepas tunduk di tangan pemain No. 4 dunia, Christo Popov dari Perancis 21-13, 18-21, 14-21 dalam masa 1 jam 2 minit.

Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, dia kecewa kerana mempersiakan peluang selepas menang set pertama dan mendahului sepanjang permainan dalam set kedua.

“Lawan saya bermain dengan sangat baik. Saya rasa bertemu dengan pemain handalan sama ada sewaktu mendahului atau ketinggalan kena berhati-hati, jangan sampai buat keputusan salah seperti yang saya lakukan, hari ini,” kata Justin.

Dalam aksi beregu wanita pula, pasangan muda negara yang berada di ranking ke-62 dunia, Chong Jie Yu-Vanessa Ng tewas kepada gandingan No. 25 dunia, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci dari Turki 8-21, 15-21 dalam masa 31 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN