Permohonan Clare ke Mahkamah Persekutuan pramatang

Permohonan Clare rujuk persoalan ke Mahkamah Persekutuan pramatang

CLARE REWCASTLE BROWN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown untuk merujuk persoalan undang-undang di Mahkamah Persekutuan berkaitan pertuduhan fitnah jenayah terhadapnya yang dikatakan tidak berperlembagaan adalah bersifat pramatang.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan tersebut selepas mendapati, pertuduhan jenayah terhadap Clare ‘masih dalam transit’ dan kes perlu dipindahkan ke   Mahkamah Tinggi secara rasmi sebelum permohonan itu diputuskan.

“Permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan dibuat mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964. Ini hanya boleh dilakukan selepas kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (daripada Mahkamah Majistret).

“Selepas kes dipindahkan, barulah Hakim Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya u tuk merujuk persoalan ke Mahkamah Persekutuan. Adalah janggal untuk Mahkamah Tinggi berbuat demikian sedangkan kes belum berada dalam bidang kuasanya,”kata Hakim itu.

Selain itu, Hakim Mohamed Zaini menyatakan, kes jenayah membabitkan Clare masih berada di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan tertuduh masih belum didakwa secara bersemuka.

Pada peringkat ini, kes di Mahkamah Majistret ditetapkan untuk sebutan waran tangkap terhadap Clare.

Pada 23 September 2021, Clare yang berasal dari United Kingdom itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara in-absentia (tanpa kehadiran tertuduh) atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Nur Zahirah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Untuk rekod persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Clare ialah sama ada Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan adalah mengikut perlembagaan dan boleh dikuatkuasakan dalam prosiding jenayah.

Jika kedua-dua seksyen itu tidak boleh dibawa selaras dengan Perlembagaan di bawah Perkara 162(1), maka mahkamah diberi kuasa untuk memansuhkan peruntukan tersebut.

Pertuduhan terhadap Clare dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Berdasarkan permohonan Clare, wanita itu mahu memindahkan kesnya daripada Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini kerana mendakwa dirinya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.

Ini kerana pengadu dalam pertuduhan fitnah jenayah terhadap dirinya adalah Sultan Terengganu sendiri. 

Clare dalam permohonannya turut memohon untuk membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya atas alasan dakwaan terhadapnya berniat jahat (mala fide), salah guna proses mahkamah dan kuasa pendakwaan serta penuh kebencian. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya