Pendakwa nafi sembunyi perbualan WhatsApp Zarul Ahmad dan Gnanaraja - Utusan Malaysia

Pendakwa nafi sembunyi perbualan WhatsApp Zarul Ahmad dan Gnanaraja

LIM Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pendakwaan dalam kes rasuah Lim Guan Eng menafikan pihaknya menyembunyikan butiran perbualan WhatsApp di antara dua saksi antaranya berkaitan penyerahan wang RM19 juta yang disebut pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini beberapa hari lalu.

Perbualan di antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja yang kemudian dipindah kepada bentuk ‘print out’ dipohon oleh pasukan pembelaan kerana dokumen itu sangat penting bagi membolehkan mahkamah mengetahui maklumat yang membawa kepada pendakwaan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan, ‘print out’ daripada WhatsApp itu telah dicarik oleh pasukan siasatan manakala kertas siasatan telah dikategorikan sebagai ‘KUS’ (kemas untuk simpan).

“Ini bukan untuk menyembunyikan keterangan, kalau perlu pihak pembelaan boleh berhujah mengenainya. Kami tidak boleh jelaskan dengan lebih lanjut mengapa `print out’ itu dicarik kerana ia di bawah kawalan pihak siasatan.

“Prosedurnya apabila sesuatu kes telah selesai, dokumen berkaitan akan dicarik kerana dikhuatiri akan bocor kepada pihak tidak bertanggungjawab dan digunakan untuk kes lain yang tidak berkaitan,” jelas beliau.

Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng berpendirian bahawa pihak pendakwaan menyembunyikan perbualan WhatsApp di antara Zarul Ahmad dan Gnanaraja walhal mesej elektronik boleh dicetak semula.

Gobind berhujah, hanya perbualan yang dipindah bentuk kepada `print out’ boleh dicarik dan dilupuskan namun mesej elektronik kekal dan tidak boleh dihapuskan.

Menurut beliau, jika dokumen itu diberikan kepada pegawai forensik, sudah tentu ada salinannya.

“Saya ingin tahu bila dokumen itu dicarik dan mengapa kerana kes masih berjalan. Mesej itu sangat kritikal dan boleh dicetak semula bagi membolehkan mahkamah mengetahui rakaman perbualan di antara kedua-duanya yang berlaku di antara Mei 2017 dan Januari 2018.

“Kita tidak boleh carik mesej elektronik. Jika keterangan utama tidak boleh diperoleh, kami mohon dibekalkan keterangan kedua,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon permohonan itu ditolak atas alasan ia tidak berasas, sia-sia dan tidak relevan dengan perbicaraan tersebut.

Hujah beliau, permohonan itu tidak relevan kerana pihak pembelaan masih boleh memperoleh keterangan yang diperlukan daripada Gnanaraja yang juga akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan kelak.

Jelas Ahmad Akram, dokumen itu tidak perlu dikemukakan pada peringkat ini kerana apa sahaja pembelaan yang akan dikemukakan melalui perbualan itu boleh dilakukan ketika sesi soal balas.

“Kami tidak perlu kemuka perbualan itu. Adakah pihak pembelaan menyatakan wujud konspirasi atau ‘perbincangan belakang’? Mereka boleh kemukakan ketika menyoal balas saksi,” jelasnya.

Bagaimanapun, Gobind berhujah, perbualan WhatsApp itu boleh dirujuk bagi menentukan sama ada Zarul Ahmad bercakap benar atau berbohong ketika disoal balas.

Pada peringkat itu, Hakim Azura Alwi mencelah dengan bertanya sama ada pihak-pihak bersetuju supaya telefon bimbit milik Gnanaraja itu dikemukakan di mahkamah bagi memastikan ia boleh dibuka atau sebaliknya.

Wan Shaharuddin kemudian menjelaskan, pada 1 Ogos lalu, peguam Haijan Omar yang turut mewakili Guan Eng menyatakan telefon bimbit itu tidak boleh dibuka.

Mahkamah kemudian menetapkan agar telefon itu dibawa ke mahkamah pada satu tarikh lain untuk dibuka oleh pegawai forensik.

Perbicaraan bersambung esok.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.