PETALING JAYA : Dua wanita ditahan susulan penemuan mayat seorang bayi di hadapan sebuah pusat perlindungan bayi di Jalan Bukit Gasing, di sini, semalam.
Penahanan wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu bagi siasatan lanjut selepas mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.10 pagi sebelum siasatan segera dijalankan di lokasi kejadian.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian bayi adalah akibat keguguran dan bayi tersebut dipercayai telah meninggal dunia melebihi 24 jam sebelum ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan beberapa barangan kes turut dirampas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi secara sulit yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau balai polis berhampiran.-UTUSAN










