Remedi luka

Remedi luka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nurin menebarkan pandangannya ke ladang permakultur seluas setengah ekar. Matahari bersinar cerah memantulkan titis embun di hujung dedaunan sekoi yang meliuk lintuk dihembus bayu pagi. Kilauan indah yang terpantul memberikan pemandangan indah yang memukau.

Nurin menghirup kopi panasnya perlahan-lahan sambil menikmati suasana pagi yang tenang.

Dari tingkap rumahnya Nurin menikmati suasana sarapan pagi yang penuh kehangatan sambil menikmati kehijauan dari kebun dapur rumahnya. Nur Permai, begitulah nama yang Nurin berikan untuk sebuah rumah impiannya.

Rumah yang di rekabentuk berdasarkan binaan rumah ladang dengan tingkat bawah daripada batu dan binaan tingkat atas menggunakan kayu jenis belian untuk menimbulkan gaya klasik sesuai dengan cita rasa Nurin.

Rumah itu sederhana dan dibina dengan reka bentuk minimalis . Yang penting bagi Nurin ruang tamunya lapang dan biliknya juga banyak. Tujuh bilik di tingkat bawah dan tujuh lagi di tingkat atas.

Ada tujuan khusus mengapa Nurin sebegitu banyak bilik di rumah itu. Ia pelaburan hari tua Nurin yang sudah lama mengimpikan untuk memiliki sebuah rumah ladang dikelilingi tanaman yang menghijau yang terdiri dari pokok buahan, sayuran dan pelbagai jenis bungaan aneka warna.

Hari ini Nurin ingin menghabiskan masa paginya bertemankan ketenangan dan kenangan jerih dan pahit sehingga dia dapat menikmati kehidupan pagi yang tenang tanpa gangguan sesudah solat subuh menikmati sarapan pagi ringkas bertemankan kicau burung dari hutan gelam kecil berhampiran.

“Demi keadilan sistem, penggiliran tugas sebagai ketua unit harus dilakukan,” lembut tapi tegas ketua jabatan yang hanya setahun lebih tua daripada Nurin itu berkata-kata.

Nurin cuba menatap wajah Dr. Azlina demi mencari sebuah pengertian. Dia tidak dapat memahami apakah definisi keadilan sistem dimaksudkan ketuanya.

Sistem penggiliran ketua unit tidak pernah berlaku secara mandatori di jabatan itu sejak mula-mula Nurin menjawat jawatan pakar sekali gus menjadi ketua unit di Jabatan itu. Terdapat kesemuanya lima unit dengan masing-masing diketuai seorang pakar yang bertanggungjawab mengurus sumber manusia dan aktiviti diagnostik yang dijalankan.

Tiga belas tahun bukanlah satu waktu yang singkat. Bertukaran portfolio mengurus yang telah digalas sepenuh jiwa selama itu membuatkan Nurin tidak dapat beradaptasi dengan penggiliran wajib yang diputuskan oleh ketua jabatannya.

Nurin masih ingat lagi bagaimana empat ketua unit sepakat untuk melepaskan jawatan masing-asing kerana sudah merasa letih menggalas tanggungjawab yang dipikul dan mahukan mereka semua berjumpa dengan ketua jabatan bagi mengusulkan cadangan penggiliran tersebut. Hanya Nurin yang masih mahu terus kekal sebagai ketua unit.

Sememangnya tugas sebagai ketua unit adalah tugas besar dan mencabar. Namun Nurin amat komited dengan kerjayanya. Bagi Nurin, mengurus manusia adalah suatu seni dan tidak semua orang mempunyai kebolehan untuk menjiwai kerjaya sebagai seorang pengurus sumber manusia yang memiliki aneka ragam. Nurin tidak menyangka akan terpaksa berhadapan dengan suara majoriti dari ketua unit lain yang mahukan penggiliran disebabkan pelbagai faktor termasuklah ingin rakan sekerja merasai bagaimana susah dan mencabarnya menjadi ketua.

“Saya tahu awak menjalankan amanah sebagai ketua unit dengan sebaik mungkin sejak 13 tahun lepas. Kini tiba masanya untuk memberi peluang kepada pakar lain untuk menjadi ketua, agar mereka juga berpeluang meningkat kemahiran mengurus di samping menjalankan tugas sebagai seorang pakar,” Dr Azlina membalas tatapan Nurin.

Nurin tahu pintu rundingan telah tertutup baginya untuk terus kekal mengetuai unit.

“Saya tidak kesal kalaulah saya terpaksa melepaskan jawatan ini kerana markah prestasi yang rendah atau kerana saya seorang pekerja bermasalah, tapi saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah saya akan menyesuaikan diri dengan keadaan ini kerana ia di luar kerelaan saya.

“Biasanya, seseorang ketua terpaksa melepaskan jawatannya kerana sebab-sebab biasa seperti berpindah, bersara atau meletakkan jawatan atas sebab-sebab peribadi.

“Namun dalam hal saya, saya rasa seolah-olah saya menjadi mangsa demi keadilan sebuah sistem. Saya tahu keputusan sudah pun Dr. buat. Sama ada saya setuju atau tidak bukanlah sesuatu yang penting lagi. Terima kasih atas rasa bahawa telah bertindak adil itu, Dr,” Nurin bangun.

Nurin menundukkan kepalanya tanda dia masih hormat kepada keputusan ketua jabatan yang selama ini menjadi idolanya. Ketua jabatan yang pada pandanganya seorang yang bijaksana dan berpandangan jauh, seorang pendengar yang baik dan sekali gus seorang teman sekerja juga.

Dia tidak mahu menyimpan dendam meskipun hati merasa terkilan kerana pendapat yang diutarakannya untuk menangguhkan penggiliran tidak diterima.

Keputusan untuk penggiliran semua unit itu suatu keputusan yang amat melukakan hati Nurin. Jiwanya terasa amat kosong kerana sebelum ini sebahagian besar waktu kerjanya selama lapan jam dipenuhi oleh tugas-tugas diagnostik dan pengurusan. Jarang masa kerjanya terbiar kosong. Penggiliran mandatori itu telah menghilangkan segala rasa pemilikan dan melemahkan motivasi diri Nurin.

Sejak itu seringkali Nurin merasakan dia tidak lagi berguna kepada organisasi. Nurin telah cuba untuk beradaptasi namun semangat dirinya semakin runtuh. Nurin merasakan dia tidak lagi penting dalam organisasi.

Pengganti Nurin sebagai ketua unit yang baru ialah rakan Nurin yang lebih junior lapan tahun dalam perkhidmatan. Amalina juga berada dalam keadaan serba salah dan tertekan dengan penggiliran ini.

Betapa tidak selama ini dia hanya menumpukan kepakarannya dalam hal-hal teknikal kerana Nurin telah menggalas tugas berkaitan hal-hal pengurusan. Amalina menumpukan usaha dan tenaganya dalam tugas-tugas teknikal yang memerlukan lebih perincian. Tiada masalah bagi mereka berdua kerana masing-masing telah sedia maklum dengan tugas.

Pertukaran portfolio ini juga membuatkan Amalina berada dalam tekanan. Menjadi ketua unit bermakna perlu berada di depan dalam segenap hal termasuklah memberi ucapan alu-aluan di dalam majlis rasmi dan juga memenuhi jemputan sebagai penceramah dalam bidang berkaitan.

Bagi Amalina, tugas seumpama itu mencabar dirinya yang mempunyai masalah mudah gugup apabila berhadapan dengan penonton.

Selama ini, Nurin lah yang melakukan itu semua. Sememangnya Nurinlah yang menjadi perisai. Nurin bekas pendebat di sekolahnya dulu. Memberikan pengucapan awam bukan masalah besar baginya. Nurin juga petah

berkata-kata dan mampu menyampaikan idea serta cadangan dalam perbincangan atau mesyuarat rasmi dengan lancar. Berhadapan dengan penonton juga bukan masalah besar bagi Nurin kerana Nurin juga merupakan seorang penyajak yang sering mewakili organisasi.

Nurin juga salah seorang penyanyi koir jabatan. Simbiosis hubungan antara Nurin dan Amalina telah berlansung dengan baik selama hampir lapan tahun lamanya. Tiada masalah antara mereka.

Amalina menghormati Nurin sebagai pakar senior yang telah menjadi penyelianya semasa proses pewartaan sebagai pakar. Beza senioriti servis Nurin selama tujuh tahun menjadi ruang selesa untuk hubungan kerja antara mereka. Semuanya berjalan lancar. Jarang ada masalah besar berlaku. Semuanya dapat diselesaikan dengan kecekapan Nurin mengatur strategi dan disempurnakan oleh ketelitian Amalina.

Nurin dilanda kemurungan selepas pertukaran portfolio itu. Hari demi hari yang berlalu bagaikan menghilangkan segala wibawa yang pernah dicapai Nurin. Tiada lagi tugas penting pentadbiran yang boleh digalas Nurin.

Nurin cuba menyesuaikan diri dan menganggap penggiliran adalah tugas biasa di dalam organisasi.

Saban hari kekosongan yang dirasakan semakin mencengkam sehinggakan air mata menjadi teman setia. Sokongan kaunselor dan rawatan psikiatri juga tidak banyak membantu.

Hanya satu keputusan sahaja yang dapat Nurin fikirkan. Keluar daripada sistem yang tidak menghargai bakat. Sehingga kini, Nurin masih belum dapat memahami mengapa Ketua Jabatannya mengambil keputusan nekad menjadikan penggiliran ketua unit sebagai mandatori, sedangkan Nurin dengan sepenuh jiwa dan prestasi cemerlangnya masih mahu terus menggalas tanggungjawab.

Setelah empat bulan berlalu Nurin akhirnya nekad melangkah keluar dengan memohon persaraan awal. Tempoh setahun menunggu muktamad persaraan adalah tempoh yang amat sukar untuk Nurin. Nurin hanya perlu menumpukan perhatiannya mengendalikan tugas-tugas diagnostik selepas pertukaran portfolio itu.

Secara relatif beban tugas yang ditanggungnya jauh berkurangan dari apa yang dipikulnya selama 13 tahun.

Namun seringkali Nurin merasakan jiwanya kosong dan sunyi. Dia tidak lagi diperlukan seperti dulu. Tanda tangannya tidak lagi berharga. Ketukan pintu kini bukan lagi untuknya tapi untuk Amalina.

Lebih pedih, Nurin terpaksa menyaksikan semua itu kerana dia dan Amalina berkongsi ruang kerja. Nurin tidak pasti apakah reaksinya terhadap penggiliran itu berlebihan atau sememangnya dia diperlakukan dengan tidak adil. Hanya yang pasti, Nurin tidak lagi merasa diperlukan.

Tawaran kerja sambilan dari sebuah hospital swasta sebagai Pakar yang menyelia umpama penyelamat untuk Nurin dari terus terjunam ke lembah depresi. Ia datang tepat pada masanya setelah Nurin benar-benar berasa kosong dan tidak bernilai kerana terhalang dari melakukan tugas-tugas pentadbiran dan menguruskan sumber manusia. Tawaran itu segera Nurin sambut dengan penuh kesyukuran.

Di organisasi barunya, Nurin menggalas tanggungjawab sebagai pengarah perkhidmatan diagnostik. Tugasan barunya ini sekali gus mengembalikan tugas pentadbiran dan pengurusan yang dicintai Nurin. Kehidupan Nurin kembali ceria apabila dia menggalas tanggungjawab baru itu secara sepenuh masa dengan pendapatan dua kali ganda dari tempat lama.

Lima Tahun Nurin berkhidmat dengan penuh semangat dan akhirnya Nurin tiba ke usia persaraan yang menjadi matlamat asalnya. Pada usia 55 tahun, Nurin akhirnya meletakkan notis persaraan dengan perasaan gembira.

Bukan penuh duka lara sewaktu memberikan ucapan persaraan kali pertamanya dulu.

Seekor burung murai yang berkicau riang menghanyutkan Nurin dari kenangan silam. Lima tahun telah berlalu, namun luka lama masih terasa basah dan pedih. Di penghujungnya ada bahagia yang telah tersurat.

Lima tahun bekerja di sektor swasta dengan pendapatan yang lebih baik memberikan kesempatan untuk Nurin mengumpul modal dan membangunkan permakultur idamannya berbanding dengan gaji lama yang hanya cukup-cukup untuk membesarkan anak seramai lapan orang.
Nur Permai, sempena nama Nurin dan Permai adalah ringkasan Permaculture Institute. Sebuah konsep yang mengembalikan kelestarian alam melalui kaedah pertanian menjadi pilihan Nurin.

Nurin segera menyapu titisan air mata dipipinya. Segera dicapainya bakul rotan yang sering digunakan untuk memetik hasil tanaman. Bijian sekoi yang telah berwarna keperangan sudah bersedia untuk dipetik. Setangkai sahaja sudah memadai untuk dinikmati seisi keluarga kerana kandungan nutrisi yang tinggi ia lebih mengenyangkan berbanding nasi. Nurin memetik setangkai sekoi. Beberapa biji telur yang segar serta sayuran hijau dipetik.

Sebentar lagi dia ingin bersiap sedia menyambut kehadiran sekumpulan 20 orang pelancong asing dari Britain yang berminat melawat Nur Permai. Mereka akan menginap di situ selama tiga hari. Nurin telah menyusun pelbagai aktiviti termasuk lawatan ke tapak pertanian, demonstrasi masakan dan memberi ceramah tentang kaedah pertanian permakultur.

Sebuah keluhan lega dilepaskan. Nur Permai telah menjadi remedi luka untuk Nurin. Nurin tersenyum puas. Hatinya dilimpahi rasa bahagia dan syukur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×