Jawatankuasa khas pencegahan kebakaran ditubuhkan kerajaan negeri Perlis

Jawatankuasa khas pencegahan kebakaran ditubuhkan kerajaan negeri Perlis

LAPAN buah rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan nelayan, Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis, pagi tadi.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas pencegahan kebakaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis khususnya di perkampungan nelayan serta kawasan-kawasan lain yang kedudukan rumah berdekatan.

Hal demikian disebabkan kawasan perkampungan nelayan atau Kampung Warna-Warni di Kuala Perlis itu sering kali terdedah dengan risiko kebakaran dan hanya dalam tempoh tiga bulan sahaja sudah terdapat 13 buah rumah musnah dalam kebakaran.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, jawatankuasa berkenaan dengan kerjasama penduduk itu akan memainkan peranan dalam usaha mengawal daripada kebakaran terus berulang di kawasan berkenaan.

“Kita akan segera menubuhkan jawatankuasa tersebut di DUN Kuala Perlis memandangkan banyak kawasan di sini yang kedudukan rumah terlalu berdekatan. Aidilfitri lalu, lima buah rumah terbakar dan semalam lapan buah.

“Sebelum ini juga sering berlaku kebakaran di kawasan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pagi tadi Utusan Malaysia melaporkan, lapan buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis di sini.

Kebakaran itu menyaksikan kebanyakan keluarga tinggal sehelai sepinggang termasuk ramai yang kerugian apabila gagal menyelamatkan harta benda serta wang tunai di rumah.

Kes kebakaran di perkampungan nelayan itu bukan yang pertama kali berlaku, malah pada 17 Mac lalu sebanyak lima rumah di Kampung Pulau Ketam di sini musnah dalam kebakaran.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, bantuan awal dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk dari sumbangan beliau sendiri telah disalurkan kepada mangsa.

Katanya, dalam tempoh seminggu ini, beliau juga telah menguruskan inap desa untuk dihuni keluarga berkenaan, sebelum pembinaan rumah baharu dilaksanakan kepada mereka.

Dalam pada itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat menziarahi dan menyampaikan sumbangan awal daripada MAIPs kepada mangsa kebakaran di Kampung Seberang Alor.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN