Peguam Syed Saddiq gagal cabar kredibiliti saksi - Utusan Malaysia

Peguam Syed Saddiq gagal cabar kredibiliti saksi

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan yang mewakili Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan dalam kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan harta yang dihadapinya.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas berpuas hati tiada percanggahan yang material di antara keterangan lisan Rafiq Hakim Razali dengan percakapan yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berpendapat, hanya wujud perbezaan kecil yang tidak terjumlah kepada perbezaan material atau percanggahan yang serius yang memerlukan prosiding mencabar kredibiliti saksi diteruskan.

Mahkamah memutuskan demikian selepas meneliti keterangan lisan Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di mahkamah dan percakapan saksi yang direkodkan oleh SPRM.

Pada 25 Julai lalu, beliau mengarahkan pasukan pendakwaan menyerahkan kepada mahkamah salinan rakaman percakapan Rafiq yang juga saksi pendakwaan ke-13 yang direkodkan oleh SPRM pada 2020 lalu.

Ketika itu, mahkamah belum memutuskan sama ada salinan percakapan saksi itu akan diberikan kepada pihak pembelaan dan arahan itu adalah bagi penelitian sebelum tindakan lanjut ditentukan.

Pada 22 Julai lalu, pihak pembelaan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pernyataan saksi utama itu untuk dijadikan asas bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding mencabar kredibiliti terhadap Rafiq.

Permohonan hari ini merupakan percubaan kedua pasukan pembelaan untuk mencabar kredibiliti Rafiq selepas permohonan terdahulu ditolak pada 18 Julai lalu.

Ketika itu pasukan pembelaan memohon mendapatkan pernyataan saksi untuk dijadikan asas bagi prosiding mencabar kredibilitinya selepas mendapati pernyataan itu bercanggah dengan keterangan lisan di mahkamah.

Dalam keterangannya awal bulan ini, Rafiq memberitahu mahkamah bahawa Syed Saddiq telah memintanya untuk mengeluarkan RM1 juta ketika satu mesyuarat di rumah tertuduh di Petaling Jaya pada Mac 2020.

Namun, ketika pemeriksaan balas, Rafiq berkata Syed Saddiq hanya menyebut jumlah RM1 juta itu dalam satu panggilan telefon.

Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. (pertuduhan pindaan kedua)

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya