PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad (CIMB) menandatangani surat hasrat (LOI) bersama China Merchants Bank Co., Ltd. (China Merchants Bank) bagi mewujudkan kerangka kerja komprehensif dalam menyediakan penyelesaian pelanggan rentas sempadan yang lebih luas.
Kerjasama yang sejajar dengan strategi Forward30 CIMB itu bakal menyokong peluasan perkhidmatan perbankan menyeluruh antara pasaran China, Malaysia dan rantau ASEAN.
Menerusi perjanjian strategik tersebut, pelanggan daripada segmen korporat mahupun runcit akan mendapat akses kepada pelbagai penyelesaian rentas sempadan merangkumi perkhidmatan perdagangan, pembayaran serta pembiayaan rentas sempadan bagi menyokong operasi dan peluasan pasaran mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei berkata, perkongsian itu memperkukuh peranan CIMB dalam memajukan ketersambungan kewangan serantau dengan memanfaatkan rangkaian luas dan kepakaran bank di ASEAN.
“Sebagai penghubung utama antara Malaysia, ASEAN dan China, CIMB berada di kedudukan teguh untuk memudahkan aliran kewangan yang lancar di sepanjang koridor China-ASEAN.
“Langkah ini membolehkan kami menyokong pelanggan dengan lebih baik melalui penyelesaian bersepadu dan menyeluruh ketika mereka berkembang serta merebut peluang pertumbuhan di seluruh rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, kedua-dua bank akan menerokai peningkatan keupayaan pengurusan tunai, pembiayaan dan penyelesaian perdagangan, yang disokong oleh hubungan ibu pejabat yang lebih kukuh bagi menyelaraskan operasi perbendaharaan rentas sempadan.
CIMB dan China Merchants Bank juga merancang untuk memperluas rujukan pelanggan bersama serta bekerjasama dalam perkhidmatan perbankan pelaburan dan penasihat untuk peluasan wilayah, merangkumi kemasukan pasaran, penstrukturan pelaburan dan keperluan kawal selia.
Kerjasama berkenaan turut diperkukuh dengan potensi kolaborasi dalam pinjaman sindiket merentasi pasaran utama dan sekunder global, sekali gus memberikan pelanggan akses kepada peluang pembiayaan yang lebih luas.
Melalui proses yang lebih diperkemas dan tahap perkhidmatan yang dipertingkatkan, inisiatif ini dijangka memacu nilai tambah yang ketara bagi pelanggan antarabangsa kedua-dua belah pihak. – UTUSAN










