AADK guna kit ujian pengesanan dadah sintetik mulai Jun - Utusan Malaysia

AADK guna kit ujian pengesanan dadah sintetik mulai Jun

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kit ujian pengesanan dadah sintetik termasuk fentanyl akan digunakan bermula bulan depan bagi membendung ancaman dadah jenis baharu itu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, kit ujian itu telah diedarkan ke pejabat AADK seluruh negara dan akan digunakan oleh pegawai dan anggota sewaktu melaksanakan operasi di lapangan.

Beliau berkata, pihaknya berdepan cabaran baharu melibatkan dadah sintetik yang lebih berbahaya berbanding dadah tradisional seperti ganja dan heroin.

“Mulai Jun ini, kita akan mula buat ujian menggunakan kit ujian (dadah sintetik) tersebut terutamanya fentanyl dan juga sintetik carnaubinol.

“Kita telah edarkan keseluruhan pejabat kita di seluruh Malaysia dan mulai Jun, kita akan buat operasi dan kita akan uji (individu) menggunakan alat tersebut,” katanya ketika ditemui pada Program Penghayatan Nilai-nilai Murni Bersempena Hari Raya Aidiladha dan Ibadah Korban AADK di sini, hari ini.

Ruslin berkata, kit itu mampu mengesan dadah fentanyl, cannabinoids sintetik dan kokain yang digunakan sebagai cecair untuk rokok elektronik atau vape.

Mengulas tangkapan AADK, Ruslin berkata, individu yang ditahan susulan penyalahgunaan dadah kini mencecah 15,000 orang bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Kita menyasarkan kita boleh capai 40,000 tangkapan pada tahun ini. Ia berdasarkan kepada aduan daripada pihak awam yang keduanya dan risikan,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan unit dron AADK juga membantu tindakan operasi.

Sebelum ini, kadar penagihan dadah sintetik di Malaysia dilaporkan berada pada tahap membimbangkan apabila menyumbang kepada 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih di seluruh negara.

Perkembangan itu selari dengan ancaman trend terbaharu yang mana sindiket kini dikesan mencampurkan bahan terlarang itu ke dalam cecair rokok elektronik atau vape. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN