Kementerian masih kesan waris bayi ditinggal di ‘baby hatch’ Johor Bahru

Kementerian masih kesan waris bayi ditinggal di ‘baby hatch’ Johor Bahru

Nancy Shukri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) masih berusaha mengesan waris seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di peti pelindung bayi atau ‘baby hatch’ di Johor Bahru baru-baru ini bagi membincangkan masa depan bayi itu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya belum berjaya mengesan ahli keluarga bayi itu meskipun terdapat nama yang ditinggalkan bersama bayi terbabit.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah memperoleh perintah mahkamah untuk mendapatkan penjagaan sementara oleh Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) terhadap bayi tersebut.

“Kita masih berusaha mengesan waris dan berharap mereka tampil bagi membincangkan masa depan bayi itu,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Ibadah Korban Peringkat Parlimen Santubong di Rumah JKKK Kampung Bintawa, hari ini.

Nancy berkata, bayi perempuan itu kini ditempatkan di bawah jagaan individu yang layak dan sesuai sementara siasatan lanjut dijalankan pihak berkaitan.

Katanya, tindakan individu terbabit meninggalkan bayi berkenaan di peti perlindungan menunjukkan masih wujud rasa tanggungjawab dan penyesalan kerana bayi itu tidak dibuang sebaliknya ditempatkan di lokasi selamat.

“Kalau dia mahu buang bayi itu, dia tidak akan tinggalkan nama penuh bayi bersama maksud nama berkenaan. Ini menunjukkan ibunya masih ada rasa tanggungjawab dan bersalah,” katanya.

Menurut Nancy, kebanyakan peti pelindung bayi di negara ini diusahakan pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan hospital, manakala KPWKM membantu dari segi sokongan serta pemantauan.

“Cuma kita harapkan tiada pihak menyalah guna tempat itu dan mereka yang menyediakan peti perlindungan menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Pada 23 Mac lalu, seorang bayi perempuan dipercayai berusia dua bulan ditinggalkan di Peti Perlindungan Bayi Orphan Care Foundation di Jalan Jerau 1, Taman Pelangi, Johor Bahru.

Bayi itu ditinggalkan bersama sepucuk surat mencatatkan nama Ainul Inaayah Abdul Hadi yang membawa maksud ‘pembawa cahaya’ serta butiran kelahiran bayi itu pada pukul 10 pagi, 22 Mac lalu.

Mengulas kes seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam baldi berisi air sabun di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, Seremban, Nancy berkata, pihak JKM Negeri Sembilan sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian termasuk dalam proses menemu bual ahli keluarga mangsa.

Katanya, bantuan sokongan psikososial termasuk kaunseling juga akan diberikan kepada keluarga mangsa memandangkan insiden itu memberi kesan emosi kepada mereka.

“Setakat semalam pegawai pelindung JKM masih dalam proses menemubual keluarga bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

“Kes itu lebih kepada aspek penjagaan dalam kalangan keluarga, jadi kita masih belum mengetahui punca sebenar kejadian kerana ia membabitkan keadaan dalam rumah keluarga sendiri,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman dalam kenyataan berkata, bayi berkenaan disedari berada dalam keadaan terlangkup di dalam baldi berisi air kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa diasuh neneknya bermula pukul 9 pagi pada hari kejadian sementara ibu dan bapa bayi keluar bekerja.

Mangsa dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan disahkan meninggal dunia pegawai perubatan pada pukul 4.30 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN