Najib bantah dua peguam wakili Tommy

Najib bantah dua peguam wakili Tommy

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendengar bantahan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap pelantikan dua peguam mewakili Tan Sri Tommy Thomas dalam tuntutan saman RM1.9 juta yang dikemukakan terhadap bekas Peguam Negara itu.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib berhujah, pelantikan Alan Adrian Gomez dan Lai Wei Shiung dari Tetuan Tommy Thomas tidak sesuai kerana sukar untuk mengekalkan kebebasan profesional dan bertindak secara objektif dalam tindakan saman itu.

Hujah beliau, Tommy selaku defendan pertama merupakan pengasas dan kini konsultan firma guaman tersebut manakala rakan-rakan kongsinya juga mempunyai kepentingan wang bersama dalam firma berkenaan.

Firoz mempertikai pelantikan kedua-duanya kerana peguam daripada firma guaman yang sama tidak wajar mewakili Tommy kerana tindakan itu didakwa tidak profesional.

Sementara itu, Alan berhujah, bantahan Najib (plaintif) wajar ditolak kerana ia berdasarkan kepada dakwaan semata-mata tanpa disokong melalui afidavit.

Hujah Alan, pihak plaintif perlu membuktikan bahawa peguam-peguam yang mewakili Tommy mempunyai kepentingan kewangan dan mereka gagal mengekalkan profesionalisme di mahkamah.

“Mereka perlu mempunyai kes yang kuat untuk membuktikan dakwaan berhubung kepentingan kewangan (pecuniary interest) melalui afidavit sokongan,” ujar Alan.

Beliau turut menyatakan, Tommy meninggalkan firma guaman itu selepas dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 dan berkhidmat sehingga Februari 2020 sebelum memasuki semula firma itu sebagai konsultan pada September 2020.

Hakim Datuk Ahmad Bache kemudian menetapkan permohonan itu diputuskan pada 19 Ogos ini.

Hari ini mahkamah sepatutnya mendengar permohonan bekas Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman Najib berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pekan itu dituduh secara salah.

Najib memfailkan saman itu pada 22 Oktober 2021 dan mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Tuduhan-tuduhan tersebut membabitkan 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., merupakan sesuatu yang telah lama dirancang oleh Tommy.

Beliau mendakwa, pada 2015 Tommy bertemu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dakwa Najib, Tommy turut menasihati Dr. Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap beliau berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

Bekas Perdana Menteri turut mendakwa, pada 2016 Tommy dalam artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini telah mengkritik dan menuduh beliau mencuri dana 1MDB.

Beliau berkata pada 10 Mei 2018, Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri dan beliau kemudiannya melantik Tommy sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018.

Najib mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya dan berniat jahat untuk mempengaruhi dan mengarahkan penyiasatan terhadapnya serta merancang untuk memenjarakan beliau selain mendakwa pendakwaan terhadapnya tidak mengikut undang-undang.

Oleh itu, Najib juga menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi.

Ganti rugi itu juga termasuk kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya.

Sementara itu, Tommy dan kerajaan melalui notis difailkan pada 18 November 2021 memohon mahkamah membatalkan saman berkenaan dengan alasan jika diteruskan dan didengar akan menyebabkan kes jenayah terhadap Najib yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

Melalui afidavit sokongan diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, menyatakan mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan subseksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah, Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan jenayah.

Katanya, keputusan Pendakwa Raya adalah berdasarkan fakta dan keterangan setiap kes di mana tindakan Najib memfailkan saman itu adalah suatu percubaan untuk menghalang Pendakwa Raya daripada menjalankan tugasnya di bawah Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya