Maut akibat renjatan elektrik ketika ribut petir - Utusan Malaysia

Maut akibat renjatan elektrik ketika ribut petir

NUR Asyqin Qistina M. Nor yang maut disambar petir dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Raya Luar, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Polis mengesahkan kematian murid tahun enam yang maut ketika menggunakan telefon pintar di Kampung Baru Sungai Raya Luar di sini semalam akibat terkena renjatan elektrik semasa kejadian ribut petir.

Dalam kejadian pukul 4.50 petang itu, Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi, 12, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis ditemukan tidak sedarkan diri oleh bapanya M. Nor Zawawi Awang, 54, di atas tilam bilik tidurnya dengan kesan melecur pada bahagian lengannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati punca kematian mangsa adalah kesan renjatan elektrik daripada kejadian sambaran petir terhadap alat penyongsang (inverter) solar rumahnya.

M. Nor Zawawi menunjukkan telefon pintar milik anak perempuannya yang digunakan ketika kejadian di Kampung Baru Sungai Raya Luar, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

“Ketika kejadian terdengar dentuman petir yang kuat sebelum bapa mangsa pulang ke rumah dan telah dimaklumkan bahawa tenaga elektrik yang terhasil pada sistem solar itu telah terpadam.

“Bapa mangsa telah menghubungi pembaiki inverter solar dan diberitahu alat sistem solar rumah mereka telah rosak akibat daripada panahan petir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, selang 15 minit kemudian isteri mangsa memaklumkan Nur Asyqin Qistina pengsan di tempat tidurnya.

Katanya, Nur Asyqin Qistina ditemukan tidak sedarkan diri dan di tangan kanan mangsa terdapat telefon serta pengecas telefon berdekatannya di samping terdapat kesan lecur dan terbakar pada tilam tempat tidur mangsa.

“Mangsa dibawa bapanya ke Klinik Kuala Betis sebelum disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya