KOTA KINABALU: Selepas pelbagai usaha dilakukan bagi menghubungi semula bekas teman lelaki yang dikenali menerusi aplikasi Tinder, seorang wanita tampil medapatkan bantuan.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Amanda,27, berkata, laporan polis telah dibuat pada 19 Julai lalu setelah menyedari dirinya seolah-olah ditipu oleh lelaki berkenaan.
“Lelaki berasal daripada Sarawak dikenali sebagai Chin merayu agar saya meminjamkan wang kepadanya dengan alasan dia perlu menjalani pembedahan akibat kanser yang dialami.
“Dia mula meminjam wang sejak tahun 2019 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM150,000. Pinjaman wang itu dilakukan melalui transaksi dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu berkata, beliau pernah berjumpa secara bersemuka dengan lelaki tersebut namun, tidak menyedari dia adalah individu sama yang dikenali melalui aplikasi Tinder. Perkara itu hanya disedari baru-baru ini setelah menyedari dirinya ditipu oleh lelaki berkenaan.
Setelah tampil mendapatkan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe, Amanda berjumpa dengan seorang lagi mangsa yang didakwa ditipu oleh lelaki yang sama.
Berbeza dengan Amanda, lelaki dikenali sebagai Stephen, 31, berkata, beliau mengenali lelaki tersebut setelah lelaki itu berpindah di sebelah rumahnya.
Katanya, Chin mengajaknya untuk menyertai pelaburan saham secara online. Biarpun pada awalnya, beliau tidak begitu yakin dengan pelaburan itu namun, selepas mendengar penjelasan Chin akhirnya beliau turut terpedaya.
Beliau berkata, kesemua wang untuk pelaburan berjumlah RM103,000 itu diberikan secara tunai kepada Chin dalam beberapa pertemuan antara Mac hingga Mei lalu.
Namun, beliau mula rasa sangsi apabila Chin semakin sukar ditemui. Kali terakhir berhubung dengan Chin, dia memaklumkan sedang menjalani rawatan akibat pembedahan kanser.
Stephen membuat laporan polis pada 25 Julai lalu apabila rasa dirinya seperti ditipu. Namun, tidak disangka ada mangsa lain yang turut terpedaya dengan helah lelaki bernama Chin tersebut.
Jin Zhe yang juga Setiausaha DAP Sabah menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati apabila membuat sebarang transaksi wang secara online kepada individu tidak dikenali.
“Sekiranya rasa sangsi, terus dapatkan nasihat polis untuk mengelak jadi mangsa scammer seperti yang berlaku kepada dua individu ini. Saya percaya lelaki dikenali sebagai Chin itu masih bergiat aktif mencari mangsa di sekitar pusat bandar raya ini.
“Setiap minggu, pejabat saya menerima antara tiga atau empat kes mangsa ditipu oleh scammer. Kes penipuan di sekitar bandar raya ini begitu tinggi maka, masyarakat harus sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa scammer,” katanya.-UTUSAN









