PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka membongkarkan lagi kesalahan rasuah meskipun pertuduhan telah dibuat membabitkan bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), kelmarin.
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kertas siasatan berkenaan sedang dalam proses dilengkapkan sebelum mengesyorkan pertuduhan beberapa lagi individu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Kata sumber, siasatan tersebut susulan siasatan SPRM mengenai terdapat sebahagian daripada transaksi berlaku di Singapura dan sejumlah wang telah disalurkan kepada beberapa akaun bank milik individu di republik berkenaan.
“Pertuduhan yang dibuat SPRM terhadap seorang bekas pengurus sebuah syarikat kelmarin adalah hasil dapatan siasatan di dalam negara. Jadi, pertuduhan mempunyai cukup bukti untuk dituduh.
“Namun, apabila membabitkan sesuatu siasatan melibatkan negara luar, ia sedikit rumit memandangkan proses berkenaan perlu membuat permohonan Mutual Legal Assistance (MLA) melalui AG untuk mengambil keterangan saksi-saksi atau bukti yang berada di luar negara.
“Sebaik sahaja cukup bukti, barulah kertas siasatan yang dilengkapkan boleh disyorkan SPRM kepada AG sama ada boleh dituduh atau tidak dan mungkin ada pertuduhan lain akan dilakukan,” kata sumber itu di sini semalam.
Kelmarin, seorang bekas Panglima TLDM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah dana sebuah syarikat perkapalan berjumlah RM21.08 juta melibatkan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Panglima (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor, 78, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM21.08 juta tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS). – UTUSAN










