PETALING JAYA: Keenam-enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak boleh disiapkan serentak jika tiada satu kapal pun boleh diuji untuk menilai keberkesanannya beroperasi di perairan.
Malah kos perbelanjaan setiap unit kapal berkenaan juga perlu diambil kira bagi memastikan tidak berlaku pembaziran untuk meneruskan pembinaan seterusnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd. Hamid berkata, hal ini bermakna selagi LCS pertama tidak disiapkan dan diuji, selagi itulah TLDM tidak boleh mengetahui kemampuan aset pertahanan itu untuk mempertahankan kedaulatan laut negara ini.
Menurut beliau, kegagalan untuk menyiapkan kapal pertama berpunca daripada salah tadbir urus sekali gus menjadi faktor penting projek LCS terbengkalai sedangkan lima daripadanya sepatutnya diserahkan kepada TLDM bulan ini.
Kata beliau, secara logik kapal pertama perlu siap terlebih dahulu sebelum meneruskan projek seterusnya bagi menguji keberkesanan di samping menjadi model untuk kapal lain.
“Kena siap kapal pertama dulu manakala bakinya pula boleh disiapkan secara serentak sebab kita tidak tahu kelajuan knot LCS pertama sama ada menepati spesifik atau tidak. Kebiasaannya siap kapal pertama, pembinaan kapal seterusnya lebih mudah dan cepat.
“Berdasarkan pengalaman saya dalam pembinaan projek kapal di Kiel, Jerman, kami kena siap kapal pertama dahulu, tetapi untuk kapal kedua dan seterusnya akan lebih mudah kerana sudah mengetahui spesifik dan keupayaan sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) komited untuk menyiapkan pembinaan enam LCS milik TLDM dengan lima LCS sedang dibina secara serentak dengan kapal pertama sudah 60 peratus siap manakala empat lagi masing-masing di peringkat 48, 43, 36 dan 22 peratus siap. Bagaimanapun, pembinaan kapal keenam belum dimulakan.
Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.
Dalam pada itu, Mohamad Imran berkata, satu badan pemantauan bebas perlu dilantik segera untuk menyelia pelaksanaan projek itu agar dapat disiapkan mengikut jadual di samping melihat ketelusan dalam membelanjakan dana awam.
Beliau menjangkakan kesemua kapal LCS itu dapat disiapkan dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi sekiranya pembinaan dipantau mengikut tempoh ditetapkan serta tiada berlaku ketirisan.-UTUSAN










