PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong mengakui Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengarahkan supaya projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihentikan.
Sebaliknya kata Chin Tong, PH cuba menyelamatkan projek LCS selepas ia berdepan masalah dan terbengkalai kerana Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) mempunyai hutang yang besar kepada pengilangan peralatan asal (OEM) dan subkontraktor.
Bagaimanapun kata Ketua Pembangkang Johor itu, segala perancangan untuk menyelamatkan projek LCS tidak menjadi kenyataan selepas ‘langkah Sheraton’ yang menumbangkan kerajaan PH pada ketika itu.
“Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Tan Sri Ambrin Buang beserta kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan ketika itu telah memberikan taklimat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 11 Februari 2020 berhubung projek LCS.
“Dalam mesyuarat itu, mantan Perdana Menteri memutuskan bahawa mereka yang membuat salah laku mesti dibawa ke muka pengadilan selain pasukan pengurusan BNS dirombak dan projek LCS dianggap sebagai projek sakit kerana menerima suntikan dana untuk ganti balik dana yang di songlap.
“Ketika itu juga, Kementerian Pertahanan diarahkan untuk membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain itu katanya, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga telah cuba mendapatkan keadaan sebenar projek LCS dengan mendapatkan penjelasan ketua pegawai eksekutif BNS dan bekas pengerusi BNS.
“Kita dapati keterangan oleh BNS agak mengelirukan dan tidak memuaskan. Tumpuan JKSTUPKK pada awalnya adalah berkenaan projek-projek land swap dan pada Disember 2018, jawatankuasa siasatan telah menyiapkan 16 laporan berkenaan ‘land swap’.
“Selepas laporan-laporan ‘land swab’ dibentang, kerana pentadbiran baharu tidak dapat tahu keadaan sebenar BNS dan projek LCS, maka Ambrin dan jawatankuasa siasatan telah membuat siasatan terperinci untuk memberi penjelasan tentang LCS.
“Dia (Ambrin) membentangkan laporan kepada kementerian pada Ogos 2019. Dengan laporan jawatankuasa siasatan, baru segala masalah diketahui sebelum arahan audit forensik dilakukan terhadap syarikat BNS,” katanya.
Ditanya sama ada, projek LCS ini sengaja dibongkarkan menjelang PRU-15, Chin Tong berkata, dia telah lama menyuarakan isu projek LCS di Dewan Negara dan di dalam media dan ia menjadi hangat apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan laporan mereka pada 4 Ogos lalu.
Sebelum ini, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan LCS milik TLDM bernilai RM9 bilion dan setakat ini kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS bagi projek runding terus namun, tiada kapal yang diterima setakat ini. – UTUSAN










