KUASA media sosial mampu menumbangkan sebuah kerajaan, walaupun sebagus mana sesebuah kerajaan mahupun pemimpin yang mengepalainya hebat di mata dunia.
Media sosial adalah sumber primer maklumat rakyat masa kini disebabkan pemilikan telefon pintar semakin meluas.
Hari ini, media cetak menjadikan ruang maya sebagai wadah menjual maklumat bagi memastikan kerjaya wartawan kekal relevan.
Tidak lama lagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan bagi parti politik meraih mandat daripada rakyat.
Soalnya, adakah kempen ceramah ibarat pertandingan debat relevan dengan ‘generasi WeChat’ yang inginkan maklumat ringkas dan padat tanpa perlu mereka memerah otak merasionalkannya?
Generasi hari ini yang mesra dengan TikTok, Twitter, Instagram dan Facebook akan melayan apa sahaja yang lalu di akaun media sosial mereka.
Ia termasuk kandungan atau content politik yang menarik minat untuk dibaca tanpa ada inisiatif untuk menyemak kesahihannya.
Media sosial mampu mencapai audiens di seluruh dunia sedangkan ceramah berdegar-degar didengar oleh penonton dalam kalangan persekitaran kempen sahaja.
Pada PRU15, kira-kira empat juta pengundi berusia 18 tahun akan layak mengundi, Soalnya, adakah kelompok ini berminat tentang masalah peribadi calon dan berapa jumlah kes mahkamah yang telah direkodkan?
Generasi WeChat akan memilih parti politik yang sejiwa dengan minat mereka di media sosial, percayalah.
Kurangkanlah ceramah politik dan lebihkan input kempen tersurat di media sosial.
Kempen tersirat seperti membeli jiwa dengan memberi bakul makanan sudah tidak relevan, generasi We Chat sudah bijak menilai. – UTUSAN










