Kluster AgroTrade raih 96 padanan, potensi jualan RM37.1 juta

Kluster AgroTrade raih 96 padanan perniagaan, potensi jualan RM37.1 juta

PAVILION Agro Trade FAMA di Hall A MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencipta 97 padanan perniagaan antara usahawan bimbingan FAMA dengan ejen pemasar luar negara dengan potensi jualan mencecah RM37.1 juta.

Pencapaian itu diraih dalam tempoh tujuh hari menerusi kluster AgroTrade kendalian FAMA di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang bermula 4 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata, padanan perniagaan itu diraih 14 buah syarikat usahawan bimbingan FAMA yang berada di kluster AgroTrade.

Beliau berkata, padanan perniagaan itu diperoleh menerusi ejen pemasar dari Jepun, China dan Hong Kong, Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Australia dan United Kingdom.

“Kebanyakan usahawan bimbingan FAMA itu ada yang sudah mendapat tempat di beberapa pasaran luar negara dan ada yang bersedia mengeksport produk mereka ke luar negara,” katanya ketika ditemui semalam.

Selain itu, katanya, pihaknya juga merekodkan nilai jualan langsung sebanyak RM230,000 daripada 14 buah syarikat itu sepanjang tujuh hari MAHA 2022 dengan jumlah pengunjung seramai 32,000 orang.

Menurut beliau, pihaknya hanya menyasarkan 75 padanan perniagaan dengan potensi nilai jualan RM10 juta sepanjang 11 hari penganjuran MAHA 2022 dan sasaran itu dicapai lebih awal.

Mohamad Mustahapa Awang

Mohamad Mustahapa berkata, pihaknya turut membawa pasar raya mini Lulu yang dimiliki Lulu Group International, konglomerat dari UAE untuk mendedahkan kepada usahawan FAMA jenis-jenis produk dipasarkan menerusi jenama pasar raya terkemuka itu.

Menurutnya, usahawan FAMA berpeluang melihat prasyarat atau keperluan dunia terhadap produk-produk tertentu memandangkan Lulu kini menjadi pusat sehenti pelbagai produk makanan terkemuka dunia.

“Usahawan kita boleh meneroka jenis-jenis produk yang boleh menembusi Lulu selain persembahan pembungkusan yang ditampilkan pada setiap produk.

“Jika kita ada kemampuan itu dan boleh bersaing dari segi harga dan kualiti produk, maka tidak mustahil kita boleh tembusi pasaran Lulu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, beberapa jenama terkenal seperti sardin keluaran KakSal, ais krim Pop Malaya, sos cili jenama Samza dan makanan sejuk beku keluaran Fatihah Frozen Sdn. Bhd. dengan keseluruhan 150 unit simpanan stok (SKU).

Jelasnya lagi, Lulu mempunyai potensi yang besar untuk diteroka usahawan tempatan dan kini mempunyai 230 pasar raya yang beroperasi di pelbagai negara.

Dalam pada itu, kata beliau, kluster AgroTrade juga menyediakan khidmat nasihat dan rundingan eksport yang dikendalikan agensi kerajaan dan syarikat swasta yang mengendalikan fasiliti eksport. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya