Kerajaan fokus miskin sifar menjelang 2025

Kerajaan fokus miskin sifar menjelang 2025

ISMAIL Sabri Yaakob ketika berucap di majlis penutupan Program Jelajah Aspirasi Malaysia edisi ke-7 Sarawak di Dataran Perayaan, Petrajaya Kuching. - PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025 melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang turut melibatkan negeri ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fasa pertama BMTKM di Bumi Kenyalang melibatkan empat lokaliti iaitu Gedong, Kampung Seberang Sebuyau, Kampung Spaoh dan Pakan.

Katanya, selain BMTKM, seramai 867,967 Keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM745 juta. 

“Ini membuktikan kecaknaan kerajaan terhadap Keluarga Malaysia di negeri ini,” katanya ketika berucap  merasmikan Program Penutupan Jelajah Keluarga Malaysia di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion yang dilancarkan pada Mac 2015, kini berada pada tahap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

Katanya, kerajaan juga  meneruskan Fasa 2 Projek Sarawak- Sabah Link Road (SSLR) yang menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei.

Menurut beliau, projek fasa 2 SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326 kilometer (km) dengan kos RM7.68 bilion. 

“Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan manakala kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), melibatkan kerja-kerja naik taraf sepanjang 96.351km bagi tempoh tiga tahun dengan kos berjumlah RM2.93 bilion.

“Ini menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif dan limpahan ekonomi kepada Keluarga Malaysia yang berniaga di Pasar Tamu Simpang Bekenu,” katanya.

Ini, tambah beliau, jelas membuktikan pembangunan nSarawak sentiasa diutamakan dan terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, RMK-12.

Selain itu, katanya, bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan sebanyak RM5.77 bilion disediakan di bawah RMK-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.

Beliau menambah, daripada 409 buah projek pembangunan baharu dan sambungan, sebanyak 111 buah projek kini siap sepenuhnya, 109 buah projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 buah projek berstatus prabina.

“Peruntukan sebanyak RM2.16 bilion turut disediakan bagi menampung 361 projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif.

“Sebanyak 203 buah projek telah siap, 68 buah projek di peringkat pembinaan, manakala bakinya dalam peringkat prabina.

“Bagi sektor kesihatan pula sebanyak enam projek pembinaan hospital dan klinik dilaksanakan di negeri ini, melibatkan tambahan bangunan, kelengkapan perubatan serta kuarters,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, sehingga kini Hospital Sri Aman telah pun siap manakala lima buah projek lagi yang melibatkan kos sebanyak RM695.5 juta di Miri, Mukah, Kuching dan Serian, dijangka siap tahun depan.

Selain itu, katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turut menyediakan peruntukan sebanyak RM13.4 bilion bagi pembangunan prasarana dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia Sarawak. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN