Keputusan mansuh UPSR muktamad

Keputusan mansuh UPSR muktamad

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah muktamad meskipun ada desakan daripada ibu bapa dan sesetengah pihak yang mahukan peperiksaan itu dikembalikan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, langkah tersebut juga demi memastikan fokus murid di peringkat sekolah rendah tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

“Bahkan, sebelum dimansuhkan, pihak kementerian sudah pun memberi penjelasan berkali-kali kepada guru selain menerusi sesi libat urus dengan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Program Pegawai Integriti Bertauliah Siri 31 Bilangan 3 melibatkan 57 peserta dari pelbagai jabatan di kementerian tersebut di sini hari ini.

Semalam, Utusan Online melaporkan semakin ramai ibu bapa yang menuntut agar UPSR dikembalikan kerana banyak kelemahan dalam kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) selain disokong seorang pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad yang mendedahkan sistem penilaian baharu tersebut belum sesuai dilaksanakan dan menjejaskan prestasi murid.

MOHAMAD Alamin merasmikan penutupan Majlis Seminar Kelestarian Integriti (SKI) Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin mengumumkan pembatalan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan 3 pada tahun lalu yang juga telah mencetuskan pelbagai reaksi.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 lalu bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima, namun pada 2010, cadangan pemansuhan UPSR telah pun dirancang untuk diambil alih menerusi PBD.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kaedah baharu sebenarnya lebih inklusif selain amat holistik dan bukan lagi dinilai berdasarkan hasil gred keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi melahirkan modal insan yang bukan cemerlang akademik sahaja sehingga hanya tumpu belajar untuk lulus peperiksaan.

Tambahan pula, kaedah itu yang merupakan sebahagian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sudah pun dibuat secara berperingkat sejak 2011 selaras Falsafah Pendidikan Negara.

Justeru, beliau yakin, sistem penilaian baharu adalah lebih bersifat menyeluruh dan bukan lagi mentaksir sifat kejayaan murid diukur dengan jumlah A yang diperoleh ketika ujian bertulis.

Langkah pemansuhan UPSR ujarnya, bukan dibuat terburu-buru dan pihak kementerian turut menerima maklum balas banyak pihak berkepentingan sebelum keputusan dimuktamadkan.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan, pihak kementerian bersedia melakukan sebarang penambahbaikan untuk memastikan segala aspek kelemahan dalam PBD sentiasa diperbaiki.  –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN