Lewat dapat kerja antara faktor burukkan krisis generasi sandwic

Lewat dapat kerja antara faktor burukkan krisis generasi sandwic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini menyebabkan semakin ramai golongan muda berdepan tekanan kewangan bagi mengimbangi tanggungjawab terhadap diri sendiri dan keluarga.

Ramai dalam kalangan mereka juga turut membantu ibu bapa yang semakin berusia selain menyara adik-beradik atau anak dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Situasi ini dikenali sebagai krisis generasi ‘sandwic’ iaitu keadaan apabila seseorang individu perlu memikul tanggungjawab kewangan terhadap dua generasi dalam satu masa.

Isu generasi sandwic ini juga semakin mendapat perhatian apabila negara berdepan perubahan struktur demografi yang pantas.

Perkembangan ini turut mendorong keperluan kepada data yang lebih terperinci bagi memahami beban rentas generasi yang semakin ketara dalam masyarakat.

Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Akaun Pindahan Negara (NTA) 2022 buat pertama kalinya dalam sejarah negara.

Malah, NTA diibaratkan sebagai ‘jam biologi ekonomi’ kerana menunjukkan hubungan antara pendapatan dan penggunaan rakyat Malaysia merentas pelbagai generasi sepanjang kitar hayat populasi.

Menurut Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi serta Penyelidik Bersekutu Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, data ini penting bagi membantu Malaysia merancang pengurusan ekonomi ketika negara berdepan cabaran populasi menua.

Katanya, perubahan struktur populasi hari ini memberi kesan langsung terhadap corak pendapatan, penggunaan dan kebergantungan ekonomi dalam keluarga.

Menerusi takrifan antarabangsa, individu berumur antara 15 tahun hingga 64 tahun ditakrifkan sesuai bagi memulakan pekerjaan kerana ia merupakan tempoh ideal iaitu selama 49 tahun untuk seseorang aktif bekerja dan menjana pendapatan.

“Namun, rakyat negara ini hanya mula memperoleh pendapatan buruh yang melebihi tahap penggunaan ketika berumur antara 29 tahun hingga 55 tahun.

“Ini bermakna tempoh seseorang individu menjadi ‘penyumbang bersih’ kepada ekonomi hanyalah sekitar 26 tahun berbanding 49 tahun dalam ukuran ideal,” ujar Dr Daaniyall.

Di luar tempoh tersebut, seseorang individu berada dalam keadaan yang dikenali sebagai ‘defisit kitaran hayat’.

Situasi ini secara langsung menggambarkan ketidakseimbangan dalam kitaran sumbangan ekonomi seseorang sepanjang hayat yang akhirnya membawa kepada fasa tertentu dalam struktur pendapatan individu.

Kadar Kelahiran Rendah Ke Arah Negara Tua

Menurutnya, data NTA turut menunjukkan individu berumur antara 29 hingga 55 tahun bukan sahaja menanggung diri sendiri malah turut menyara golongan muda dan warga emas dalam keluarga mereka.

“Ini bermaksud sebahagian besar populasi perlu bergantung kepada sokongan kewangan keluarga, lebihan pendapatan orang lain atau simpanan persendirian bagi menampung kos kehidupan.

“Keadaan inilah yang menjadi asas kepada krisis generasi ‘sandwic’ yang semakin dirasai dalam masyarakat hari ini,” katanya.

Dalam masa sama, negara kini melalui peralihan demografi yang berlaku dengan pantas berikutan Jumlah Kadar kesuburan (TFR) negara menurun kepada 1.6 jauh lebih rendah daripada kadar penggantian 2.1 yang diperlukan bagi mengekalkan kestabilan populasi.

“Keadaan ini mewujudkan satu paradoks apabila Malaysia dilihat sedang menua lebih cepat sebelum mencapai status negara kaya sepenuhnya.

‘Malah, negara kita secara rasmi memasuki status negara menua apabila tujuh peratus penduduknya berumur 65 tahun dan ke atas pada tahun 2021,” katanya.

Beliau turut menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat kepada 14 peratus menjelang tahun 2048 sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara tua.

Ekonomi Isi Rumah Semakin Terhimpit

Penyelidik Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE, Adzzahir Ifwad Adzman pula berkata, perubahan struktur penduduk ini akan memberi tekanan besar terhadap ekonomi negara sekiranya tidak diurus dengan baik.

Katanya, peningkatan jumlah warga emas serta penyusutan populasi belia akan memberi kesan terhadap pasaran buruh, sistem kesihatan dan kemampuan isi rumah bagi menampung kos kehidupan.

Data NTA turut mengetengahkan beberapa kelemahan dalam struktur ekonomi semasa negara seperti beban perbelanjaan yang tinggi dalam kalangan isi rumah.

“Data tersebut menunjukkan rakyat membelanjakan sekitar RM31,564 seorang untuk keperluan sendiri dimana ia jauh lebih tinggi berbanding bantuan dan sokongan institusi awam yang hanya sebanyak RM6,382 per kapita,” katanya.

Keadaan itu menunjukkan beban penjagaan dan kos penuaan lebih banyak dipikul oleh keluarga berbanding jaringan keselamatan sosial negara selain jurang simpanan untuk persaraan juga dilihat semakin membimbangkan.

“Walaupun simpanan persendirian mencapai kemuncak sebanyak RM56,998 pada umur 65 tahun namun hakikatnya jumlah tersebut masih dianggap tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan selepas bersara,” katanya.

Menurut Dr Daaniyall, kita tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada institusi keluarga untuk menampung cabaran ekonomi akibat populasi menua.

“Negara memerlukan sistem perlindungan sosial yang lebih mampan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipelihara dalam bagi tempoh jangka masa panjang.

“Dalam masa yang sama, negara juga dilihat perlu melangkaui pendekatan konvensional dalam menentukan hala tuju dasar persaraan dan keluarga,” katanya.

Antara Komitmen Keluarga dan Impian

Seiring dengan keperluan tersebut, pandangan daripada golongan muda turut memperlihatkan harapan agar dasar yang lebih inklusif dapat diwujudkan bagi menangani cabaran semasa.

Bagi pekerja swasta, Anis Farwizah Mazlan berkata, golongan muda hari ini memerlukan sistem sokongan yang lebih baik termasuk peluang pekerjaan stabil, perlindungan sosial serta kos kehidupan yang lebih mampan.

Katanya, perkara tersebut penting bagi membantu anak muda membina masa depan dengan lebih yakin tanpa tekanan kewangan yang berlebihan.

“Semakin ramai golongan muda kini memikul tanggungjawab rentas generasi dalam keluarga dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

“Sekiranya Malaysia gagal menyesuaikan dasar ekonomi dan sosial dengan perubahan demografi semasa, tekanan terhadap generasi bekerja dijangka akan terus meningkat dan memberi kesan kepada masa depan negara,” katanya

Anis berkata, isu generasi ‘sandwic’ perlu dilihat sebagai cabaran sosial dan ekonomi yang semakin relevan dalam masyarakat hari ini berikutan ada yang memilih untuk menangguhkan komitmen besar seperti pembelian aset kerana perlu mengutamakan keperluan keluarga terlebih dahulu.

Anis mengakui sebahagian anak muda juga lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kewangan walaupun sudah bekerja tetap.

Dalam masa yang sama, tekanan untuk mengekalkan kestabilan hidup sendiri masih menjadi cabaran utama kerana ramai golongan muda berada dalam keadaan “cukup-cukup makan” walaupun mempunyai pendapatan bulanan.

Bagi sesetengah anak muda, ketidaktentuan ekonomi ini turut mempengaruhi cara mereka melihat fasa kehidupan dewasa.

Mereka menjadi lebih berhati-hati dalam membuat komitmen besar kerana risau beban kewangan akan bertambah.

“Ada juga yang memilih untuk menangguhkan perkahwinan bukan kerana tiada keinginan tetapi kerana kestabilan kewangan masih belum mencukupi.

“Ini menjadikan perkahwinan bukan lagi dianggap sebagai keutamaan awal kehidupan sebaliknya sebagai satu komitmen besar yang perlu dirancang dengan sangat teliti,” tambahnya.

Namun, kebanyakan anak muda masih berusaha untuk menyeimbangkan antara tanggungjawab keluarga dan kehidupan sendiri selain mereka juga turut cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi semasa walaupun ia tidak mudah.

Syafiqa Humaira Saiful Haizam pula berkata, kita boleh mengambil contoh negara luar seperti Sweden dan Denmark kerana menyediakan sistem kebajikan dan penjagaan warga emas yang lebih tersusun sehingga dapat mengurangkan tekanan terhadap ahli keluarga.

Katanya, Malaysia perlu memperluaskan sokongan seperti bantuan penjagaan warga emas, waktu kerja fleksibel dan perlindungan sosial yang lebih baik bagi membantu generasi bekerja.

“Di negara luar, penjagaan warga emas banyak dibantu melalui sistem komuniti dan sokongan kerajaan. Jadi anak-anak tidak menanggung semuanya sendiri.

“Malah, di Jepun dan Singapura juga sudah mula menyesuaikan dasar pekerjaan serta kemudahan awam untuk masyarakat menua termasuk memperkenalkan pekerjaan mesra warga emas dan sistem sokongan penjagaan keluarga,” katanya.

Pendekatan seperti itu boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan dan emosi terhadap generasi muda di Malaysia.

Sokongan yang lebih menyeluruh daripada kerajaan dan majikan mampu membantu golongan muda merancang masa depan dengan lebih baik tanpa berdepan tekanan yang berlebihan.

Malaysia Perlu Sistem Ekonomi Lebih Seimbang

Usaha memperkukuh struktur pasaran buruh dan memastikan setiap peringkat umur terus diberi ruang dalam ekonomi dilihat semakin penting bagi mengimbangi cabaran demografi negara.

Antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah meningkatkan penyertaan tenaga kerja dalam kalangan individu berumur 60 hingga 64 tahun melalui pekerjaan yang lebih fleksibel dan mesra usia.

Selain itu, negara juga memerlukan sistem penjagaan warga tua yang lebih tersusun termasuk penyediaan insentif bagi mengurangkan beban keluarga.

Pada masa sama, pendekatan pembangunan antara negeri juga perlu lebih seimbang memandangkan setiap negeri mempunyai corak demografi dan ekonomi yang berbeza.

Inovasi sosial dan intervensi pasaran buruh kini menjadi semakin penting berikutan populasi belia semakin mengecil dan jumlah warga emas terus meningkat .

Pendapatan golongan muda khususnya yang baru memasuki pasaran kerja perlu diperkukuhkan supaya mereka mampu menjana kehidupan yang lebih stabil.

Selain itu, pendidikan sepanjang hayat dan latihan kemahiran juga perlu dipertingkat bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN