LEBIH RM102 juta dana wakaf sudah diagihkan kepada lebih dua juta penerima di seluruh negara sejak penubuhan Waqaf An-Nur pada tahun 2000, membuktikan wakaf bukan lagi sekadar amalan kebajikan tradisional, sebaliknya berkembang menjadi instrumen pembangunan sosial yang memberi impak besar kepada masyarakat.
Pencapaian itu menjadi bukti wakaf mampu berfungsi sebagai satu sistem yang tersusun, mampan dan berdaya tahan apabila diurus secara profesional serta berlandaskan tadbir urus korporat yang baik.
Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur Corporation Berhad, Bukhari Abdul Rahman berkata, cabaran utama institusi wakaf pada masa kini bukan lagi tertumpu kepada usaha mengumpulkan atau mengagihkan dana semata-mata.
Katanya, keutamaan kini ialah memastikan setiap dana wakaf mampu menjana impak yang berterusan, berskala besar dan memberi manfaat secara inklusif kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Ujarnya, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat dan jurang akses terhadap perkhidmatan asas yang semakin ketara, pendekatan wakaf secara sekali beri atau ‘one-off’ tidak lagi memadai untuk memenuhi keperluan semasa.
Waqaf An-Nur mengambil pendekatan melaburkan semula dana wakaf dalam portfolio pelaburan patuh syariah supaya manfaatnya dapat dikembangkan secara berterusan dan dinikmati oleh lebih ramai golongan memerlukan.
Sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak RM27.75 juta sudah disalurkan menerusi empat teras utama iaitu kebajikan dan kemasyarakatan, kerohanian dan keagamaan, pembangunan sosioekonomi serta penjagaan kesihatan.
Menurut Bukhari, konsep wakaf yang diperjuangkan Waqaf An-Nur bersifat sejagat kerana manfaatnya disalurkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira kaum atau agama.

KLINIK BAYAR RM10
Satu daripada inisiatif paling signifikan ialah pengoperasian 24 Klinik Waqaf An-Nur yang menawarkan rawatan kesihatan pada kadar amat berpatutan, iaitu serendah RM10 bagi setiap rawatan pesakit luar.
Rawatan dialisis turut disediakan pada kadar RM130 bagi setiap sesi, sekali gus meringankan beban pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan berkala.
Sehingga kini, lebih 2.3 juta rawatan sudah direkodkan di rangkaian klinik berkenaan dengan sebanyak tujuh peratus daripada penerimanya terdiri daripada masyarakat bukan Islam, sekali gus mencerminkan sifat inklusif institusi wakaf tersebut.
Bukhari berkata, saat seorang pesakit hadir dengan hanya RM10 di tangan tetapi pulang selepas menerima rawatan yang sempurna merupakan gambaran sebenar bagaimana wakaf mampu memberi makna kepada kehidupan seseorang.

BIASISWA UBAH NASIB KELUARGA
Dalam bidang pendidikan pula, Waqaf An-Nur menyalurkan bantuan biasiswa dan pendidikan berjumlah RM1.10 juta kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah bagi membuka peluang mereka mengubah masa depan.
Bukhari berkata, terdapat penerima bantuan yang kini sudah menjadi doktor, jurutera dan guru, sekali gus membuktikan pelaburan dalam pendidikan bukan sahaja mengubah kehidupan individu, malah mampu mengangkat taraf ekonomi seluruh keluarga.
WAQAF TALI PANCING
Melalui konsep Waqaf Tali Pancing, Dana Niaga yang diperkenalkan sejak tahun 2007 telah menyediakan pembiayaan mikro Islamik tanpa faedah kepada lebih 637 usahawan kecil bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.
Pada masa sama, Pusat Waqaf Komuniti membuka peluang kepada ibu tunggal, belia menganggur dan wanita dalam kumpulan B40 mengikuti latihan kemahiran praktikal sehingga membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri, dengan lebih 150 peserta kini berjaya keluar daripada kelompok penerima bantuan untuk menjadi penyumbang kepada masyarakat.
Mengulas mengenai kedudukan Waqaf An-Nur di peringkat lebih luas, Bukhari berkata, institusi itu diiktiraf sebagai model wakaf korporat pertama di dunia yang menggabungkan tadbir urus korporat dengan prinsip syariah secara menyeluruh.
Sebagai sebuah inisiatif Johor Corporation (JCorp), Waqaf An-Nur terus menyokong misi ‘Membina dan Membela dengan menggerakkan aset wakaf untuk menjana nilai, memperkukuh ekonomi sosial Islam moden serta membuktikan amalan itu bukan sekadar warisan silam, sebaliknya instrumen masa depan yang mampu membina masyarakat lebih mampan, bermaruah dan sejahtera.










