PETALING JAYA: Terbiar dan hampir musnah. Begitulah keadaan beberapa bekas kes Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selepas tidak lagi digunakan setelah program PLKN ditamatkan pada 2018.
Tinjauan udara yang dilakukan jurufoto Utusan Malaysia di kem PLKN Desa Rimba, Chenderoh., Kuala Kangsar, Perak mendapati kawasan kem berkenaan bersemak-samun selain mendapati semua bangunan di dalam kem berkenaan tidak berbumbung.
Turut kelihatan terdapat longgokan besi termasuk kekuda bumbung di beberapa kawasan seolah-olah dikumpulkan untuk dibawa keluar disamping tilam bertaburan di lantai tanpa katil.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Nani, 27, berkata, kem itu adalah salah satu kem PLKN di kampungnya selain Kem PLKN Kota Lama dekat sini.
Menurutnya, dahulunya kedua-dua Kem PLKN itu merupakan kebanggaan kampungnya kerana ramai yang datang dari luar dan secara tidak langsung menaikkan kawasan tersebut di samping menjana pendapatan tambahan kepada penduduk.
Namun katanya, kini salah satu kem berkenaan iaitu Kem PLKN Desa Rimba terbiar tanpa diuruskan mana-mana pihak, manakala sebuah lagi Kem PLKN Kota Lama pula dijadikan sebagai Penjara Satelit Kuala Kangsar.
“Menurut cerita orang kampung dan orang luar yang masuk ke dalam kem berkenaan untuk memancing di tasik yang ada, keadaan di dalam sangat teruk, bangunan tidak berbumbung selain bersepah,” katanya ketika ditemui di Kampung Ngor, di sini.
Di Kemaman, Terengganu, bekas tapak kem PLKN Bakau Resort yang terletak berdekatan muara Sungai Kertih juga dalam keadaan terbiar sejak ditutup kira-kira empat tahun lalu.
Tinjauan mendapati kawasan tersebut yang dibuka pada 2004 berada dalam keadaan tidak terurus dipenuhi dengan semak samun. Selain itu, bangunan-bangunan dan kemudahan latihan yang terdapat di kawasan kem tersebut juga rosak dan usang.
Kawasan tersebut turut menjadi tempat simpanan pasir yang disedut dari muara Sungai Kertih.
Antara bekas kem-kem PLKN lain di Terengganu ialah Kem PLKN Cheneh Cemerlang, Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Kem PLKN Cenderawasih, Pengkalan Berangan, Marang, Kem PLKN Padang Kacong, Alor Limbat, Marang, Kem PLKN Merang Suria Holiday, Setiu dan Kem PLKN Saujana Jabi Impian, Besut.
Bagaimanapun, beberapa bekas kem tersebut dibangunkan semula sebagai penjara satelit, maahad tahfiz serta resort.
Sementara itu, seorang penduduk di Kuala Kertih yang mahu dikenali sebagai Rashid, 53, berkata, dia difahamkan tanah di tapak bekas kem PLKN Bakau Resort itu adalah milik individu yang tidak dikenalinya.
Menurutnya, kawasan bekas kem tersebut kini sunyi kerana tiada sebarang aktiviti dijalankan pada ketika ini.
Katanya, kem tersebut tidak sepatutnya ditinggalkan terbiar kerana kedudukannya berdekatan kawasan perkelahan terkenal di daerah ini.
“Kawasan muara sungai berdekatan kem itu sering menjadi tumpuan pelancong terutama kaki pancing kerana muara sungai tersebut popular sebagai lubuk ikan siakap.
“Selain itu, Pantai Teluk Air Tawar di hadapan tapak bekas kem itu juga mempunyai pemandangan yang cantik,” katanya.
Di Mersing, Johor, keadaan kem PLKN Teluk Sari Penyabong, Endau juga terbiar dan dikhuatiri menjadi sarang maksiat selain penagihan dadah.
Pintu pagar utama kem berkenaan berkunci dan diletakkan tanda dilarang masuk sebagai amaran. Walau bagaimanapun, pintu kecil di tepi pagar berkenaan terbiar terbuka membuatkan sesiapa sahaja boleh memasuki kawasan tersebut.
Selain itu, bangunan pondok pengawal turut kelihatan usang selain terdapat juga beberapa pintu yang didapati terbuka separuh disyaki akibat dipecah masuk.
Seorang penduduk, Farah Musa, 31, berkata, jalan ke kem berkenaan yang menjadi laluan utama untuk ke Pantai Penyabong turut mengundang kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pelancong.
“Apabila tengok keadaan kem itu yang kosong dan sunyi, jadi takut nak lalu di kawasan itu. Risau dan bimbang jika tempat seperti itu menjadi lokasi mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan perkara yang tidak elok.
“Keadaan pintu utamanya memang berkunci, namun bahagian tepi pintu kecil telah terbuka dan sesiapa pun boleh menceroboh ke dalam kem itu.
“Bimbang juga jika ia menjadi ‘port’ penagihan dadah atau tempat maksiat kerana dari luar memang kita tidak nampak apa-apa, takut di dalam bangunan itu macam-macam boleh berlaku,” katanya. – UTUSAN










